“Kasih Merdeka”- GISSCO Raikan Warga Emas Sempena Jubli Emas dan Bulan Kemerdekaan

FOTO BERITA: Program CSR Kasih Merdeka sempena Bulan Kemerdekaan 2025 “50 Tahun GISSCO – Kasih & Bakti untuk Warga Emas” di Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Lot 3530,Jalan Besar Batu 9, Kampung Pulau Meranti, 47120 Puchong, Selangor. 1hb Ogos 2025 (Jumaat)

Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-68 dan Jubli Emas penubuhan syarikat, GISSCO Sdn Bhd, syarikat Bumiputera pertama yang dianugerahkan Lesen 001 oleh Petronas, telah menganjurkan sebuah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan “Kasih Merdeka: 50 Tahun GISSCO

Program CSR tersebut diraikan bersama 50 penghuni pusat jagaan berkenaan, sebagai lambang penghargaan GISSCO terhadap golongan warga emas yang menjadi sebahagian daripada sejarah pembangunan negara. Pelbagai aktiviti diadakan termasuk nyanyian lagu-lagu patriotik, kibaran Jalur Gemilang, sambutan hari lahir khas bagi penghuni yang lahir pada bulan Ogos, serta persembahan hiburan dan sesi interaktif bersama sukarelawan.

Dalam ucapan En. Shahrul Azmi, Pengarah Operasi (Operation Director) GISSCO Sdn Bhd, menyatakan bahawa program ini adalah manifestasi rasa syukur dan tanggungjawab GISSCO terhadap masyarakat, selari dengan nilai kemerdekaan dan legasi syarikat selama lima dekad. “Kejayaan korporat bukan sekadar diukur melalui angka, tetapi melalui impak positif yang kita tinggalkan kepada masyarakat. Program hari ini adalah lambang kasih dan penghargaan kami kepada warga emas yang telah banyak berjasa kepada negara,” ujar beliau.

En. Shahrul Azmi turut mengajak lebih banyak organisasi korporat dan individu untuk mengambil bahagian dalam usaha memperkukuh budaya kesukarelawanan dan menghargai warga emas yang sering kali dilupakan dalam arus pembangunan negara.

Sementara itu bagi Pengarah GISSCO Sdn Bhd, Cik Umairah Mohammad Rashid, menyatakan bahawa program ini adalah simbol kasih sayang dan penghormatan kepada warga emas yang menjadi sebahagian daripada sejarah negara. “Dalam semangat kemerdekaan yang ke-68 dan sempena 50 tahun penubuhan GISSCO, kami ingin menzahirkan penghargaan kepada golongan warga emas yang telah banyak menyumbang kepada tanah air. Program ini mencerminkan semangat kasih dan tanggungjawab sosial yang menjadi teras kepada nilai korporat GISSCO,” ujar beliau.

Tambah beliau, GISSCO melihat tanggungjawab sosial sebagai satu komitmen jangka panjang yang bukan hanya menyentuh aspek kebajikan, tetapi turut melibatkan pembentukan jati diri korporat yang prihatin dan menyumbang secara aktif kepada krpada kesejahteraan komuniti.

GISSCO turut menyumbangkan barangan keperluan harian, makanan, kit kebersihan serta sumbangan tunai berjumlah RM5,000 kepada pengasas pusat jagaan, Puan Hajjah Muji binti Haji Sulaiman, bagi membantu menampung kos operasi harian pusat tersebut.

Dalam suasana yang penuh keinsafan dan kasih sayang, Puan Hajah Muji Haji Sulaiman, Pengasas Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas dalam ucapan menyentuh hati menzahirkan rasa terharu dan penghargaan kepada GISSCO atas kesudian menjadikan Pusat Jagaan Al-Ikhlas sebagai lokasi pilihan bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan dan kasih sayang. “Usia emas ini adalah waktu yang paling memerlukan perhatian dan kasih sayang. Kehadiran GISSCO hari ini bukan sekadar membawa bantuan, tetapi membawa cahaya dalam hati para penghuni kami. Terima kasih kerana melihat mereka bukan sebagai beban, tetapi sebagai warisan yang perlu dihormati,” ujar beliau penuh syukur.

Beliau turut menyifatkan penganjuran program seperti ini sebagai tanda bahawa nilai kemanusiaan dan semangat kebangsaan masih subur dalam kalangan masyarakat dan sektor korporat, khususnya dalam kalangan syarikat Bumiputera seperti GISSCO. Puan Hajah Muji mengakhiri bingkisan beliau dengan harapan agar lebih banyak organisasi tampil menghulurkan tangan, bukan hanya dengan sumbangan material tetapi juga dengan kehadiran yang membawa makna dan kasih sejati. “Warga emas ini pernah berbakti membina negara. Sekarang tibalah masa kita membalasnya dengan rasa hormat dan cinta. Terima kasih GISSCO, kerana membawa makna ‘merdeka’ ke dalam hati mereka hari ini,” katanya dengan penuh emosi.

Program ini adalah sebahagian daripada siri inisiatif CSR GISSCO sepanjang tahun 2025, dengan objektif utama untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga emas, mendorong budaya kesukarelawanan dalam kalangan warga kerja dan belia, menyokong pusat jagaan melalui bantuan keperluan dan kewangan dan memperkasa peranan syarikat dalam pembangunan sosial dan kemasyarakatan.