Kosong lagi kerusi Presiden Pas

Ketiadaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semasa Perdana Menteri membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030) (RMK13) di Parlimen semalam menarik perhatian orang ramai.

Menerusi gambar dikongsikan di Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerusi Ahli Parlimen Marang didapati kosong, begitu juga di sebelahnya kerusi bagi wakil rakyat Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kekosongan kerusi yang sepatutnya diduduki Tuan Ibrahim merangkap Timbalan Presiden Pas itu menambahkan lagi kritikan banyak pihak terhadap tanggungjawab pemimping tertinggi parti pembangkang tersebut.

PM Anwar semasa pembentangan RMK13 di Parlimen semalam.

Dalam masa sama, ramai menganggap kegagalan Hadi menghadiri sidang Dewan Rakyat sudah menjadi kebiasaan bagi bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf Menteri itu.

“Marang mana? Memanjang tak datang,” ujar Irfan Asyraf Jamaluddin.

“Siapa tak nampak Marang, dia pendek umur,” sindir Nazri.

“Kerusi Parlimen kosong takpe, jangan kerusi Presiden,” kata Fitri Maarof pula.

Selain itu, warganet turut secara sinis menempelak blok pembangkang yang minggu lalu garang menerusi himpunan baju hitam menuntut Anwar berundur.

“Macam mana PM nak turun, yang nak ganti PM pun tak mari naik kerusi Parlimen,” kata Fiq Ras Fauwaz.

Semalam, Perdana Menteri membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat, dengan kerajaan memperuntukkan RM611 bilion berbanding RM400 bilion pada RMK12.

Perancangan lima tahun bermula 2026 itu berteraskan kepada tiga asas utama iaitu pembentukan negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah, sistem sosial berteraskan insan MADANI, serta peralihan kepada negara berasaskan kecerdasan buatan.

Bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’, RMK13 antara lain menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar purata 4.5 hingga 5.5 peratus setahun.

RMK13 juga meletakkan matlamat menjelang 2026, pertumbuhan pelaburan swasta mencecah RM417.9 bilion setahun secara nominal serta pengurangan defisit fiskal kepada bawah tiga peratus KDNK.

BACA JUGA Tarif Malaysia turun dari 25% ke 19%”, panggilan telefon PMX mungkin ubah keputusan Trump