Penangan PMX, pengusaha batik di Kelantan maklum ‘website down’ diserbu pelanggan

Laman sesawang Bujins Batik tidak dapat diakses dan tergendala buat sementara waktu susulan jumlah pengunjung yang tinggi ketika ini.

Bujins Batik merupakan syarikat pengusaha batik tempatan, dan salah satu hasil karyanya telah diperagakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) semalam.

“Wow! Disebabkan sokongan yang hebat, website kami down sementara waktu kerana trafik yang tinggi. Kami sedang usaha untuk baiki secepat mungkin,” maklum syarikat itu di Facebook.

Beberapa pengguna mengatakan mungkin trafik tinggi kerana penangan PMX.

Difahamkan, Bujins menghasilkan karya batik mereka dari Kelantan.

Laman sesawang syarikat itu menerima jumlah trafik yang tinggi selepas orang ramai dimaklumkan bahawa baju digayakan Perdana Menteri adalah hasil anak tempatan.

Sebelum itu baju batik Anwar menjadi kontroversi kerana seorang Ahli Parlimen pembangkang mendakwa Anwar tidak menyokong batik tempatan, sebaliknya menggunakan corak batik Indonesia.

Dakwaan itu disangkal oleh Bujins Batik yang memaklumkan baju digayakan Perdana Menteri adalah hasil karya pasukan mereka.

“Maaf YB, itu baju batik kami. Kami dari Malaysia YB. Produksi di Tunjung, Kelantan. Hasil seni warga kita”. Demikian komen yang ditinggalkan pengusaha batik itu pada hantaran wakil rakyat pembangkang tersebut.

BACA JUGA MP Pas mohon maaf, akui khilaf tuduh PM pakai baju batik Indonesia