Pengurangan kadar tarif 19% sebagai ‘rahmat’ untuk industri berteknologi tinggi di Malaysia

OLEH A. ZAHID

Keputusan Amerika Syarikat untuk mengurangkan kadar tarif terhadap produk Malaysia daripada 25% kepada 19% bukan sekadar perubahan angka, ia adalah satu anjakan positif yang mampu merangsang semula sektor eksport negara.

Pengumuman ini hadir pada saat yang kritikal, ketika negara-negara sedang berlumba-lumba memperkukuh kedudukan masing-masing dalam rantaian bekalan global yang semakin kompetitif.

Bagi Pulau Pinang, yang selama ini menjadi nadi utama industri berteknologi tinggi Malaysia seperti elektrik dan elektronik, pembuatan serta peralatan perubatan, langkah ini dianggap sebagai “rahmat”.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menggambarkannya sebagai “perkembangan yang melegakan” sambil menyifatkan pengurangan tarif itu sebagai “melebihi jangkaan dan memberi harapan baharu kepada masa depan perdagangan antarabangsa Malaysia.”

Apa yang menjadikan berita ini lebih bermakna adalah hakikat bahawa Malaysia kini berada pada tahap yang setanding dengan negara ASEAN lain seperti Indonesia, Thailand dan Filipina, yang selama ini menikmati kadar tarif yang lebih kompetitif.

Ini sekaligus mewujudkan padang persaingan yang lebih seimbang dalam hubungan perdagangan serantau.

Namun begitu, Chow juga mengingatkan bahawa ini hanyalah permulaan. Malaysia masih berdepan persaingan dari negara-negara jiran yang mendapat akses sifar tarif melalui pelbagai perjanjian perdagangan bebas.

Maka, pengurangan tarif ini perlu dijadikan pemangkin kepada usaha yang lebih besar, termasuk rundingan lanjut oleh kerajaan persekutuan untuk mendapatkan konsesi tambahan bagi sektor-sektor strategik.

Pulau Pinang, sebagai pintu masuk utama eksport bernilai tinggi negara, sememangnya memerlukan sokongan dasar yang kukuh di peringkat persekutuan.

Usaha Chow dan kerajaan negeri untuk terus menekan agar lebih banyak ruang rundingan dibuka amat wajar, terutamanya bagi mengekalkan daya saing negara dalam rantaian bekalan global yang dinamik.

Dalam konteks geopolitik semasa, kehadiran semula AS dalam sidang kemuncak ASEAN, jika benar Presiden Donald Trump hadir seperti yang dilaporkan, boleh membuka semula pintu dialog dua hala yang lebih bermakna.

Ia mencerminkan bahawa perdagangan bukan semata-mata soal angka dan tarif, tetapi juga hubungan strategik yang dibina atas dasar saling faham dan rundingan.

Pengurangan tarif ini bukan penamat, tetapi permulaan baharu untuk Malaysia mengorak langkah lebih berani di pentas dagangan antarabangsa.

BACA JUGA Siapa PM pembangkang hanya boleh dijawab dalam debat dengan MP