Sultan Ibrahim lakar sejarah Agong pertama buat lawatan negara ke Rusia
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan untuk berangkat mengadakan Lawatan Negara ke Persekutuan Rusia dari 5 hingga 10 Ogos depan, atas jemputan Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir V. Putin.
Seri Paduka Baginda melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia yang pertama mengadakan Lawatan Negara ke negara tersebut sejak tertubuhnya hubungan diplomatik pada tahun 1967.
Menerusi kenyataan rasmi Istana Negara pagi ini, lawatan baginda Agong melambangkan peranan penting Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara.
Lawatan ini bukan sahaja akan memperkukuh hubungan dua hala sedia ada, malah akan membuka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi serta hubungan sesama rakyat.
Selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia turut memainkan peranan signifikan mengeratkan kerjasama strategik dalam konteks Persekutuan Rusia sebagai Rakan Dialog ASEAN sejak tahun 1996.
Semasa berada di Moscow, Seri Paduka Baginda akan diterima Presiden Vladimir V Putin dalam satu Istiadat Sambutan Negara di Kremlin, diikuti dengan satu pertemuan rasmi di antara kedua-dua Ketua Negara.
Seri Paduka Baginda turut berangkat menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Persekutuan Rusia.
Menurut kenyataan itu, Sultan Ibrahim dijadualkan akan mencemar duli melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI), dan Hub Teknologi dan Inovasi Tochka Kipeniya.
Selesai lawatan ke Moscow, Seri Paduka Baginda akan berangkat mengadakan lawatan ke Kazan, Republik Tatarstan pada 8 Ogos 2025.
Republik Tatarstan merupakan salah sebuah republik autonomi Persekutuan Rusia dengan majoriti penduduk beragama Islam.
Di Kazan, Seri Paduka Baginda turut berkenan untuk menerima menghadap Rustam Minnikhanov, Rais Republik Tatarstan dan berangkat mengadakan lawatan ke pusat pembuatan dan pemasangan helikopter.
BACA JUGA AMANAH kehilangan peguam, aktivis hebat bila Hisham Fauzi meninggal dunia pagi ini