‘Yang riuh rendah minta saya turun, kebanyakannya ada kes rasuah’

Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak-pihak yang mendesak supaya beliau berundur daripada jawatan Perdana Menteri, mendakwa kebanyakan mereka mempunyai kes rasuah.

Menurut beliau, desakan untuk beliau turun dibuat semata-mata kerana mereka mahu kes-kes mereka digugurkan.

“Yang riuh rendah minta tukar kerajaan turunkan Anwar ini, siapa dia? Semua ada kes-kes rasuah.

“Dia nak minta supaya kita selamatkan mereka. Sebab dia anggap bila Anwar turun, kes dia selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Anwar menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dalam isu membanteras rasuah, malah mengulangi komitmennya bahawa semua wang yang dicuri perlu dipulangkan semula kepada rakyat.

“Saya nak bagitahu sekali lagi, saya ada mandat. Semua wang yang dicuri dari negara dan rakyat mesti dipulangkan balik kepada negara,” katanya.

Dalam ucapan sama, Anwar turut menyentuh isu subsidi bahan api dan membandingkan harga minyak di Malaysia yang menurutnya jauh lebih rendah berbanding negara-negara ASEAN lain.

Katanya, walaupun ada yang tidak bersyukur dengan penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, tetapi kata beliau tidak ada negara lain lagi yang tawarkan minyak lebih rendah berbanding Malaysia.

“Dia orang kata dulu Anwar janji “menang hari ini….”, tapi minyak turun atau tidak? Ya bukan Anwar turun, minyak yang turun.

“Dan ini paling rendah berbanding dengan semua negara-negara Asean. Jadi bagi orang yang tak puas hati, tak reti bersyukur, itu hal dia. Tapi mana ada negara yang minyak serendah kita?

“Tetapi saya kata, tentunya kalau kita bayar rendah, orang asing bayar tinggi lah. Orang asing yang tak bayar cukai, bayarlah.

“Yang gajinya RM100,000 sebulan. Takkan kita nak bagi subsidi. Takkan kita nak minta dia bayar RM1.99 seliter. Dia bayarlah RM2.60. Itu pun ada orang sebelah sana kata dekat saya, dia kata Anwar ini tak berhati perut, sampai hati menekan orang-orang asing,” katanya lagi.

BACA JUGA Politik AMANAH yang sederhana sesuai dengan masyarakat di Sabah