Isu Laut Sulawesi: Sabah tidak diketepikan, jamin PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa pendirian dan persetujuan Sabah akan diambilkira dalam isu sempadan dengan Indonesia, terutamanya di kawasan Laut Sulawesi. Ini adalah faktor yang akan diambilkira selain daripada undang-undang dan sejarah.

Beliau berkata keputusan yang dibuat selepas perbincangan akan memerlukan persetujuan kerajaan dan Dewan Undangan Negeri Sabah.

Perbincangan dua hala beliau bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berhubung isu Laut Sulawesi bersempena Mesyuarat Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia di Jakarta baru-baru ini turut membabitkan penyertaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Saya (nak) tanya, dulu dalam perundingan-perundingan antarabangsa, ada Perdana Menteri panggil ketua-ketua negeri untuk (turut serta) bincang bersama?

“(Pendekatan) ini kita lakukan dalam Kerajaan MADANI kerana untuk memutuskan (segala perkara berkaitan) sempadan, mesti melibatkan kerajaan-kerajaan negeri termasuk kerajaan negeri Sabah”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian penutupan Majlis Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Anwar turut menjelaskan peri pentingnya kehadiran Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor dalam rundingan beliau bersama Prabowo.

“Dibincangkan soal Laut Sulawesi dan beritahu depan Hajiji, kita kena bincang ikut undang-undang, ikut (berlandaskan) Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982, ikut sejarah dan mesti dipersetujui oleh kerajaan negeri Sabah dan akhirnya Dewan Undangan Negeri.

“Itu yang kita putuskan, dihadapkan dengan syarat rasmi. Bukan celoteh-celoteh, tipu-tipu di bawah ini,” katanya.

BACA JUGA: Ini usaha kerajaan demi sekolah pondok