MOT umum tamatkan pengeluaran, penjualan nombor plat khas
Tiada lagi kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan untuk pengeluaran dan penjualan nombor pendaftaran khas (NPK) bagi tujuan keuntungan syarikat, individu mahupun NGO.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, menegaskan keputusan tersebut selaras dengan ketetapan Jemaah Menteri pada mesyuarat tiga tahun lalu.
“Kriteria dasar semasa Kementerian Pengangkutan iaitu memberhentikan pengeluaran atau kebenaran penjualan NPK kepada NGO atau syarikat korporat adalah dikekalkan seperti mana diputuskan Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2022.

“Ia termasuk bagi tujuan perniagaan yang menjana keuntungan bagi pihak berkenaan,” kata beliau ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi ini.
Hasbi berkata demikian menjawab pertanyaan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) yang memohon penjelasan mengenai garis panduan dan kriteria digunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam meluluskan siri plat NPK, termasuk dikeluarkan oleh agensi kerajaan, NGO atau entiti swasta.
Berhubung jumlah kutipan hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa (NPI), Hasbi berkata sebanyak RM110,069,150 dikutip sejak ia diperkenalkan pada 2023.
“Hasil nombor pendaftaran NPI kini dibuka kepada pembidaan melalui JPJeBid dan hasilnya dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan di bawah kerajaan Persekutuan.
“Seterusnya sebahagiannya digunakan untuk program berpaksikan rakyat,” kata Hasbi lagi.
BACA JUGA PM Anwar akui hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah kini jauh lebih baik