PM Anwar akui hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah kini jauh lebih baik
Hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah kini jauh lebih baik berbanding sebelumnya, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR berkata, Kerajaan MADANI kekal komited untuk terus membantu Sabah demi pembangunan yang lebih saksama, inklusif dan berimpak tinggi.
Berkongsikan inti amanat kepada pimpinan, anggota dan jentera PKR Sabah, beliau menyeru agar kesatuan, kekuatan dan kesiapsiagaan terus diperkukuh menjelang Pilihan Raya Negeri yang akan datang.
“Tanggungjawab kita adalah menyampaikan penjelasan berfakta kepada rakyat, melawan fitnah dengan hujah, serta membawa suara dan aspirasi rakyat Sabah dengan penuh amanah dan keikhlasan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau mengingatkan bahawa PKR mesti kekal sebagai parti yang tersusun dan kuat.

“Pemilihan telah selesai, maka kini masanya untuk kita bersama-sama menyatukan tenaga dan memperkemas semula gerak kerja parti di semua peringkat.
“PKR Sabah perlu memastikan struktur organisasi dan gerak kerja jentera diperkukuh di setiap cabang,” kata Anwar.
Dalam masa sama, beliau berkata, keanggotaan parti mesti ditambah dan dimantapkan manakala jentera pilihan raya perlu bekerja keras, dan semangat perjuangan tidak boleh luntur.
“Setiap kerusi yang ditandingi PKRmesti dimenangi dengan keyakinan, iltizam dan usaha gigih.
“Mari kita buktikan bahawa PKR Sabah bersedia memikul amanah rakyat dan membawa perubahan yang bermakna untuk negeri ini,” kata beliau lagi.
BACA JUGA ‘Suruh YB kamu cetak duit banyak-banyak, Pas buat apa untuk rakyat Kelantan?’