Bahas RMK13: Baju batik PMX, 13 Mei dan buku RMK tak tebal antara hujah kontroversi Pas

Sepanjang sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen, perbahasan daripada blok pembangkang khususnya Ahli-Ahli Parlimen Pas paling menjadi kontroversi kerana kritikan remeh dan tidak menyentuh isi dasar.

Daripada memberikan cadangan atau kritikan yang konstruktif, pembangkang lebih gemar fokus kepada hal-hal seperti baju yang digunakan Perdana Menteri, ketebalan buku RMK13, membangkitkan soal 13 Mei dan mempertikai iltizam kerajaan menokhtahkan kemiskinan.

Sebelum ini ketika Perdana Menteri membentangkan RMK13, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mempertikai pemakaian batik Perdana Menteri kerana mendakwa ia adalah corak batik Indonesia.

Tuduhan itu telah ditepis seorang pengusaha batik tempatan dari Kelantan yang menghasilkan karya batik Anwar.

Ahmad Amzad kemudian telah membuat permohonan maaf kepada PMX dan memadam hantaran yang dimuat naik di Facebooknya.

Seorang lagi Ahli Parlimen Pas dari Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh pula mendakwa iltizam kerajaan untuk menokhtahkan kemiskinan tegar sebagai “bercanggah dengan naluri dan fitrah ketika Allah meciptakan manusia”.

Beliau mendakwa iltizam itu tidak lebih sekadar sembang kosong kerana di mana-mana negara pasti ada kemiskinan.

Hujah itu bagaimanapun mengundang reaksi kurang senang orang ramai yang beranggapan wakil rakyat Pas itu sebagai anti dengan usaha membasmi kemiskinan.

Isu lain yang menjadi kontroversi adalah ketika Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi mempersoalkan soal buku Rancangan Malaysia Ke-13 yang didakwanya lebih nipis berbanding RMK12.

Kritikan ini mengundang sindiran warganet yang membandingkan Belanjawan Kelantan 2025 juga lebih nipis daripada tahun sebelumnya, namun tiada siapa pula dari parti itu yang membangkitkannya.

Tidak terlepas, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim turut membuat kecoh selepas memberi peringatan kepada kerajaan mengenai rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Ini kerana beliau mendakwa tiada pelan spesifik buat bumiputera dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Adakah kerajaan nak balik kepada peristiwa 13 Mei ini?” soal Awang ketika mencelah ucapan perbahasan ketua pembangkang Hamzah Zainudin.

BACA JUGA PM minta YB Arau sepakat dulu dengan pembangkang sebelum tanya peruntukan