PM Anwar sekolahkan pemaju hartanah, ini sebabnya
Pemaju hartanah projek perumahan berskala besar telah disekolahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis pelancaran Residensi Aman MADANI.
“Saya kurang puas hati mengenai aspek pendidikan dalam projek-projek baharu. Projek berskala besar harus memenuhi konsep pembangunan MADANI.
“Kalau sekolah jauh, tadika tidak ada… bagaimana ibu bapa hendak urus anak-anak? Ini bukan soal kecil. Semua ini mesti diberikan perhatian serius.
“Semua projek perumahan besar di bandar mahupun luar bandar perlu mengikut konsep pembangunan menyeluruh yang menitikberatkan keperluan rakyat,”
Beliau berkata demikian susulan aduan dan pemerhatian rakyat berpendapatan sederhana yang tidak mendapat akses pendidikan, kesihatan dan keselamatan seperti tadika.
Beliau turut mengarahkan pemaju hartanah projek Residensi Aman MADANI untuk menyediakan semula kertas kerja perancangan pembangunan.
DBKL, pemaju perumahan dan pihak berkaitan telah diarahkan untuk berjumpa dengan beliau pada hari Isnin.
“Satu blok boleh diteruskan, satu lagi saya arah tangguh sehingga syarat-syarat ini dipenuhi.
“Saya tidak kisah jika ada yang tidak senang dengan teguran saya. Negara ini hanya boleh berubah jika kita semua ubah sikap dan melaksanakan tanggungjawab.
“Ini projek besar, dan pemaju perlu memberikan kerjasama,” katanya.
“Kalau nak bertanggungjawab, fikirkan mengenai mereka di bawah. Rumah sahaja tidak mencukupi. Semua keperluan asas perlu disediakan,” katanya.
BACA JUGA: Laporan polis berkaitan hakim yang tular: Ini pendirian kerajaan