Selepas kes cerai meningkat, Terengganu lancar portal cari jodoh

Kerajaan Terengganu hari ini melancarkan portal Jodoh Darul Iman (JDI) ketika trend kes perceraian di negeri Pas tersebut menunjukkan peningkatan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif JDI itu bukan sahaja mempercepatkan proses mencari jodoh.

Malah, katanya, menyediakan ruang bimbingan, panduan dan sokongan kepada pasangan yang sedang bersuai kenal menuju perkahwinan.

“Usaha ini diharap dapat meningkatkan kadar perkahwinan dalam kalangan rakyat negeri Terengganu, seterusnya meningkatkan kadar kelahiran di negeri ini,” katanya ketika berucap pada perasmian program berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang berkata, trend global perkahwinan lewat usia, enggan berkahwin atau tidak mahu mempunyai anak, boleh memberi kesan jangka panjang kepada struktur masyarakat dan keluarga.

“Kalau lihat perkara ini berlaku dalam satu tempoh yang tertentu… ianya akan mendatangkan pelbagai kesan yang besar dalam negara kita seperti demografi, kesan sosial yang tak dapat kita bayangkan bagaimana berlaku di negara-negara barat…,” katanya.

Sehubungan itu, Samsuri berkata usaha yang dilakukan pihaknya mampu menyelesaikan masalah berkenaan.

“Selebihnya kita mohon kepada semua mereka di luar sana supaya turut menyahut seruan daripada kita ini kerana kita kena lihat kerangka yang besar untuk memastikan kelangsungan kependudukan dalam negeri dan dalam negara kita ini,” katanya.

Untuk rekod, jumlah kes perceraian di Terengganu menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 1,855 kes direkodkan pada 2023 berbanding 1,656 kes pada 2022.

Dalam masa sama, jumlah perkahwinan yang direkodkan di Terengganu pada 2023 ialah seramai 9,075 pasangan beragama Islam.

Pada 2022, sebanyak 11,246 perkahwinan telah direkodkan manakala jumlah perceraian pula 1,656 kes iaitu 14 peratus, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Terengganu, Maliaman Kassim.

BACA JUGA Doa Qunut Nazilah: Apa pendirian PMX?