SUKMA 2026: 34 sukan dipertandingkan, penekanan penyertaan wanita & Brunei sertai buat kali pertama

FOTO BER: Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA Selangor &Sedang Media oleh YB Hannah Yeoh Menteri Belia dan Sukan, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, YB Najwan Halimi EXCO Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Selangor dan EXCO-EXCO Sukan Negeri di Courtyard by Marriot Setia Alam, Shah Alam, Selangor. 5hb Ogos 2025 (Selasa)

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh hari ini telah memuktamadkan beberapa keputusan penting berkaitan penganjuran Temasya SUKMA 2026 yang bakal berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos 2026.

Antara keputusan utama ialah pemilihan tinju dan sofbol sebagai dua sukan wajib tambahan, menjadikan jumlah keseluruhan sukan wajib kepada 30 jenis sukan. Selain itu, empat sukan tambahan turut diluluskan iaitu catur, e-sukan, kriket dan kabaddi

Dengan ini, 34 jenis sukan akan dipertandingkan pada SUKMA 2026 di sembilan daerah di seluruh negeri Selangor. Kementerian menegaskan bahawa keputusan ini adalah muktamad, dan tiada lagi rayuan penambahan sukan akan dipertimbangkan bagi memberi ruang kepada penganjur membuat persiapan rapi.


Satu lagi fokus utama mesyuarat ialah isu kekurangan penyertaan atlet dan pegawai teknikal wanita dalam temasya SUKMA 2024 di Sarawak. Bagi menangani isu ini, beberapa cadangan telah diluluskan.

Tiga kursus teknikal dan kejurulatihan wanita pada 2025, dan lima kursus lagi pada 2026. Setiap kontinjen negeri wajib melantik sekurang-kurangnya seorang Ketua atau Timbalan Ketua Kontinjen wanita. Kuota minimum 20% pegawai sokongan wanita dalam urusetia dan perubatan kontinjen. Sasaran minimum 30% sukarelawan wanita dan 20% pegawai teknikal wanita dan setiap pasukan wanita/acara dengan pemeriksaan fizikal wajib ada sekurang-kurangnya seorang pegawai wanita.

Bagi acara terbuka, penyertaan atlet daripada jantina berbeza akan diwajibkan, manakala sukan dalam senarai Sukan Olimpik akan tetap dijalankan walaupun tidak cukup penyertaan atlet wanita – satu perubahan daripada peraturan sebelumnya.

Mesyuarat turut meluluskan penyertaan rasmi Kontinjen Negara Brunei Darussalam buat kali pertama dalam sejarah SUKMA. Jenis dan jumlah sukan yang bakal disertai oleh Brunei akan ditentukan oleh Jawatankuasa Khas Teknikal SUKMA dalam masa terdekat.

Satu lagi perkembangan penting ialah keputusan Mesyuarat Exco Belia dan Sukan Negeri-Negeri yang diadakan sebelum mesyuarat utama hari ini, yang bersetuju bahawa pengurusan penyertaan negeri ke Sukan Para SUKMA bermula edisi 2026 akan dipindahkan kepada Majlis Sukan Negeri, menggantikan Jabatan Belia dan Sukan Negeri.

Langkah ini bertujuan memperkemas pengurusan bakat dan persiapan atlet Para di peringkat negeri dengan lebih strategik dan fokus, selaras dengan agenda inklusiviti dan pembangunan sukan untuk semua.