Azalina bagi amaran pemimpin samakan wanita dengan lembu betina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memberi “peringatan mesra” kepada pemimpin sebuah parti Islam yang gemar menggunakan analogi haiwan kepada wanita.

Beliau berkata, jika perlakuan itu berterusan, pemimpin berkenaan boleh dikenakan tindakan saman kerana melanggar beberapa peruntukan di bawah Kanun Keseksaan.

“Kepada mereka yang berkenaan: Jika anda masih membandingkan pemimpin wanita dengan haiwan pada tahun 2025, Tahniah!

“Anda mungkn telah melanggar beberapa peruntukan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574). Sekadar ingatan mesra: Seksyen 509, Seksyen 504 dan Seksyen 298A.

“Jika anda membuat perbandingan menggunakan agama, Seksyen 507B yang baru? Sudah pasti! Hati-hati sebelum kena saman!,” katanya di aplikasi X.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang tidak menyebut mana-mana parti, namun memuat naik artikel Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempertahan analogi lembu betina.

Muhammad Salman Al Farisi

Ia bermula apabila pada 3 Ogos lalu, Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi berkata, berdasarkan pengalamannya menternak lembu selama lebih setahun, lembu betina sering menunjukkan sifat ketua.

Beliau kemudian berkata, atas sebab itu lelaki tidak boleh jadi seperti lembu jantan yang mengangkat ‘betina’ sebagai ketua.

“Sebab itulah kita kalau boleh jangan jadi seperti lembu yang mengangkat betina sebagai ketua. Lelaki sepatutnya menjadi ketua dan seiring ayat al-Quran dalam surah an Nisa ayat 34.

“Bila lembu betina diangkat ketua, dia menentukan segala-galanya. Yang jantan-jantan sekitar lembu betina ini hanya tahu meragut hasil.

“Paling teruk pun lembu jantan diminta menanduk musuh. Kesianlah jika kehidupan kita disamakan seperti kehidupan lembu,” katanya di media sosial baru-baru ini.

BACA JUGA Ini titah Agong semasa pertemuan rasmi dengan Vladimir Putin