GISSCO Raikan 50 Tahun Kecemerlangan dengan Majlis Gala Jubli Emas dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025

FOTO BERITA… Sidang Media sempena Jubli Emas 50 tahun Gissco oleh Pengarah Urusan Gissco, Mohammad Khoirul Kamal Mohammad Rashid bersama Pengarah Gissco, Umaira Mohammad Rashid dan Shahrul Azni Shahruddin, Pengarah Operasi di Maple Room, Glamhall Damansara, Neo Damansara, Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor. 6hb Ogos 2025 (Rabu)

GISSCO Sdn. Bhd., syarikat Bumiputera pertama yang dianugerahkan Lesen PETRONAS 001, bakal menganjurkan Majlis Gala Jubli Emas ke-50 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 pada 15 September ini di sebuah hotel terkemuka di ibu negara. Majlis penuh berprestij ini bakal menghimpunkan lebih 400 tetamu termasuk pemegang taruh, rakan industri, warga kerja dan wakil media, dalam suasana yang dijangka sarat dengan penghargaan, nostalgia serta pencapaian cemerlang sepanjang lima dekad penubuhannya sejak 1975.

Acara ini bukan sahaja bertujuan meraikan perjalanan luar biasa GISSCO sebagai peneraju dalam sektor minyak dan gas negara, malah turut mengiktiraf jasa dan dedikasi warga kerja dari seluruh negara termasuk cawangan di Miri, Kemaman, Labuan dan ibu pejabat di Kuala Lumpur.

Mohammad Khoirul menegaskan bahawa GISSCO akan terus komited dalam memperkukuh peranannya sebagai pelopor dalam industri tenaga, selari dengan matlamat negara mencapai pembangunan mampan dan berpaksikan inovasi teknologi hijau. “Kami bangga kerana GISSCO merupakan syarikat Bumiputera pertama yang dianugerahkan Lesen PETRONAS 001, dan pencapaian ini bukan sekadar simbol kejayaan korporat tetapi satu amanah untuk terus menyumbang kepada kemajuan industri serta pembangunan bakat tempatan,” ujar beliau. Selain itu, beliau turut ditanya mengenai penubuhan akademik, “GISSCO merancang untuk menubuhkan sebuah institusi akademik khusus bagi melatih dan memperkasa anak-anak muda dalam bidang berkaitan minyak, gas dan tenaga, sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan negara,” tambah beliau.

Disamping itu menurut Pengarah GISSCO, Puan Umaira Mohammad Rashid, penganugerahan Lesen PETRONAS 001 merupakan satu legasi yang amat bermakna buat syarikat.
“Dianugerahkan sebagai pemegang Lesen PETRONAS 001 bukan sekadar satu keistimewaan – ia adalah legasi. Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik, khususnya PETRONAS, atas kepercayaan berterusan terhadap GISSCO selama ini,” katanya.

Mengimbau sejarah penubuhan GISSCO, beliau berkongsi kisah pengasas syarikat, Allahyarham Haji Mohammad Rashid Haji Mohd Fahmi, yang memulakan operasi dalam bidang katering luar pesisir sebelum berkembang menjadi penyedia utama perkhidmatan tenaga kerja mahir, teknikal, pengurusan acara dan pembekal PPE dalam industri. “Keazaman pengasas kami yang tidak pernah mengenal erti putus asa menjadi teras kekuatan syarikat. Hari ini, GISSCO berdiri sebagai simbol ketahanan dan kecekapan syarikat Bumiputera dalam sektor strategik negara,” jelasnya lagi.

Kemuncak majlis adalah penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 bagi menghargai kakitangan yang telah menunjukkan kesetiaan dan prestasi luar biasa sepanjang tahun. Pelancaran logo baharu GISSCO turut akan diadakan sebagai simbol transformasi korporat menuju masa depan lebih dinamik. Majlis ini bakal diserikan dengan persembahan artis-artis popular tanah air seperti Dato’ Khatijah Ibrahim, Dato’ Hattan, Dayang Nurfaizah, Mimi Fly, dan Atilia, yang dijangka menghidupkan suasana penuh gemilang dan nostalgia.

Turut dinanti-nantikan ialah kehadiran seorang tetamu kehormat berprofil tinggi yang mewakili kepimpinan nasional dalam sektor ekonomi dan korporat, dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat. Dengan semangat “Daripada warisan kepada wawasan”, Gala Jubli Emas GISSCO menandakan bukan sekadar perayaan ulang tahun, tetapi simbol komitmen berterusan terhadap kecemerlangan, integriti dan jati diri nasional dalam industri minyak dan gas.