Ini titah Agong semasa pertemuan rasmi dengan Vladimir Putin
Malaysia menyifatkan Russia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dan penting, titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa pertemuan rasmi dengan Presiden Rusia Vladimir Putin semalam.

“Hubungan diplomatik kita telah terjalin lebih lima dekad, yang diwujudkan secara rasmi pada April 1967.
“Beta diingatkan bahawa Malaysia antara negara ASEAN terawal yang menjalin hubungan dengan Moscow.
“Seperti pepatah Russia, persahabatan lebih berharga daripada wang.
“Dengan semangat persahabatan inilah, beta percaya, yang akan terus membentuk hala tuju hubungan antara kedua-dua negara demi kepentingan rakyat,” titah Seri Paduka Baginda di hadapan Vladimir Putin selepas majlis sambutan negara di Istana Kremlin, Moscow.
Turut mengiringi Seri Paduka Baginda adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Menteri Pengiring; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamad Zin dan Duta Besar Malaysia ke Russia, Datuk Cheong Loon Lai.

Sultan Ibrahim kini mengadakan lawatan negara rasmi pertama ke Russia atas jemputan Putin, yang berlangsung sehingga 10 Ogos ini.

Lawatan negara pertama oleh Ketua Negara Malaysia ke Russia itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menemui Putin pada 14 Mei lalu di Istana Kremlin, Moscow, semasa kunjungan rasmi beliau ke negara itu.
BACA JUGA Dari lapan hari dilanjut hingga enam bulan, Israel larang tokoh ini masuk Masjid Al-Aqsa