Malaysia bakal tarik RM637 bilion pelaburan hijau, buka 310,000 peluang kerja menjelang 2050

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia bakal menarik pelaburan kira-kira RM637 bilion dalam tenaga boleh baharu (TBB) dan teknologi hijau, selain membuka 310,000 peluang pekerjaan menjelang 2050.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, kerajaan juga menetapkan ekuiti pemilikan tempatan dalam semua projek TBB yang diperkenalkan dan dilaksanakan adalah sekurang-kurangnya 51 peratus.

Ia bagi memastikan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan pemindahan teknologi kepada tenaga kerja tempatan dilakukan.

“Ini termasuk bagi pelaksanaan Program Solar Berskala Besar, Program Tarif Galakan, Program ‘Corporate Renewable Energy Supply Scheme’ (CRESS) dan Program ‘Community Renewable Energy Aggregation Mechanism’ (CREAM),” katanya melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat hari ini.

Fadillah berkata demikian menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai perancangan kementerian untuk menarik pelaburan langsung asing dalam sektor teknologi hijau dan ekonomi sirkular berkaitan tenaga dan air.

Abdul Khalib turut bertanya mengenai impak jangkaan terhadap penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan pemindahan teknologi kepada tenaga kerja tempatan.

Tarikan kepada pelabur

Menurut Fadillah, kerajaan akan menumpukan usaha memperkukuh inisiatif TBB sedia ada bagi memberikan kepastian, insentif serta opsyen bekalan elektrik hijau yang lebih luas kepada pemain industri supaya menjadi faktor tarikan kepada pelabur untuk melabur dalam rantaian nilai industri TBB negara.

Jelasnya, antara usaha akan diteruskan termasuk memperkukuh pelaksanaan Program Solar Berskala Besar sebagai antara program penjanaan solar utama untuk menarik pelaburan dalam bidang TBB dengan implikasi kenaikan tarif yang minimum kepada pengguna elektrik.

“Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan mekanisme tarif galakan dan Program ‘Low Carbon Energy Generation’ sebagai program khusus untuk menarik pelaburan dalam bidang penjanaan daripada sumber bukan solar,” katanya.

Selain itu, kata beliau lagi, kementerian akan memperkemas pelaksanaan CRESS untuk membolehkan syarikat yang melabur di negara ini mendapat bekalan elektrik hijau daripada penjana TBB pilihan secara langsung, selain daripada syarikat utiliti untuk memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta meneruskan penyediaan insentif cukai, ‘Green Investment Tax Allowance’ dan ‘Green Income Tax Exemption’.

BACA JUGA Gelaran ‘lembu betina’: Apa kata MP, Adun Muslimat Pas?