Pembangkang malas membaca pandai menuduh

DATUK MAHFUZ OMAR

Saya ucapkan tahniah kepada pihak pembangkang khususnya Ahli Parlimen kerana berjaya membuktikan satu perkara mereka pandai menuduh yang kepentingan pembanggunan untuk orang Melayu dan Bumiputra tidak di berikan perhatian dalam dokumen RMK13.

Hakikatnya mereka malas membaca keseluruhan teks ucapan Perdana Menteri dan buku pembentangan RMK13. Sangat merbahaya bila tuduhan itu dikaitkan dengan peristiwa 13 Mei 1969 yang kononnya menimbulkan kemarahan orang Melayu.

Kelompok ini seolah-olah baru sedar orang Melayu wujud selepas mereka hilang kuasa.

RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri jelas memperuntukkan jumlah terbesar dalam sejarah negara untuk Bumiputera. Ini termasuk peruntukan mega bagi membangunkan tanah Rizab Melayu di bandar.

Pelan PuTERA35 untuk meningkatkan penguasaan Bumiputera dalam sektor strategik sebanyak 132 inisiatif yang dirangka dalam resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera menerusi Pelan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2035 (PuTERA35) berjaya diterapkan dalam RMK13.

Ini bukan retorik di pentas ceramah. Ini angka hitam putih dalam dokumen rasmi negara.

Pelbagai program yang menyasarkan penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi oleh Melayu.

Namun, di luar sana masih ada yang melaungkan “Kerajaan Madani tak bela Melayu.” Persoalannya mereka baca RMK13 atau tidak? Atau mereka memang takut rakyat tahu bahawa tuduhan mereka itu cuma cerita kosong untuk sedap tepuk tangan ceramah?

Hakikatnya, majoriti penerima manfaat RMK13 adalah bumiputera sendiri. Tetapi bagi pembangkang, jika fakta tak menyebelahi naratif mereka, lebih baik terus ulang fitnah lama kononnya Kerajaan hanya jaga kaum lain.

Kepada pemimpin politik pembangkang yang suka bersyarah di pentas yang berpura-pura menjadi jaguh bangsa, jangan jadi pejuang papan kekunci (Keyboard Warrior) yang buta huruf terhadap dokumen negara. Rakyat sudah penat dengan slogan kosong.

Kerajaan Madani memilih untuk bekerja, bukan berdrama. Fakta tidak boleh dipusing, walau lidah selembut mana pun memutar ayat. Dan fakta RMK13 ini akan terus menjadi bukti kononnya pejuang Melayu itu hanyalah pelakon utama dalam pentas wayang kulit politik.


DATUK MAHFUZ OMAR ialah naib presiden AMANAH.