Mufti Ustaz Fauwaz Fadzil yang saya kenali: Bahagian I
IMAM MUDA ASYRAF
Saya menonton video Mufti baru-baru ini dalam kelas Training Of Trainer Fiqh alMizan yang katanya penuh kontroversi.
Saya pun cuba mencari di mana ‘kontroversinya’. Mungkin bagi sebahagian orang ianya kontroversi. Namun tidak sepatutnya pada mereka yang mendalami bidang Syariah.
Namun bila diperhati di ruangan komen begitu terkilan untuk dibaca.
Bagi saya yang jarang memberi komentar pada mana-mana isu. Kali ini rasa isu ini membuat hati terasa. Amat sedih dan berdukacita.
Tak sepatutnya jika makin berusrah, makin berharaki, makin bermaki. Andai sampai begini laras bahasa yang diguna terhadap seorang Mufti.
Jika sekadar seorang dua penulisan kritikan ilmiah. Idea dibalas idea. Hujah dibalas hujah. Tidak mengapa. Ianya lumrah dalam berbeza fikrah. Sangat dialukan. Saya juga mendapat ilmu baru dari kritikan.
Tapi jika penulisan berbentuk hinaan, cercaan. Bahkan bukan dari netizen biasa tetapi lahir dari jemari ‘Abna alHarakah’. Dah nampak serupa seakan ada satu ‘tanzim’ pula untuk membunuh karakter Sahibus Samahah Mufti. Saya berpandangan ini suhu yang tidak baik sebagai adab interaksi dengan SS Mufti.
Berat sebenarnya untuk berkata. Menulis tulisan berbeza pandangan sebegini membuat saya berfikir ribuan kali. Benar kata sahabat dalam jemaah, “Menegur pemerintah tak sesukar menegur rakan dalam jemaah sendiri”.
Namun, mana mungkin sahabat dan juga guru kami SS Mufti Ust Fauwaz Fadzil dipijak rapat saya hanya jadi memerhati.
Kita akui. Mufti tidak maksum. Tuan Guru tidak maksum. Ulama juga tidak maksum. Apatah lagi Imam Muda yang jarang pakai kopiah ini.
Andai sahabat Nabi SAW yang tidak maksum juga kita memakai kaedah “من كثرت حسناته غُفِر له ما لا يُغفر لغيره
Takkanlah kaedah sama tak mampu kita gunakan walau secebis buat tok-tok guru kita, Tok Mufti atau orang alim kita dalam masyarakat.
Mereka tidak setaraf ‘Sahabat Nabi’. Tetapi mereka juga tak seharusnya diperli. Idea boleh disanggah. Namun lunak bahasanya takkan tiada sekelumit rahmah.
Kenapa perbezaan fikrah selalu dianggap ancaman pedang yang mahu membunuh. Sedangkan fikrah berbeza itu hanya sekadar jarum yang halus. Andai tercucuk jari, sakitnya terasa, parutnya tiada.
Melihat komen pada video SS Mufti Wilayah. Mungkin perlu difahami. Itu situasi training, diskusi, Tadribul-Aql dalam kelas.
Juga untuk membentuk pemikiran kritis dalam kalangan pelajar bidang Syariah. Ianya sangat berbeza dengan konsep Usrah atau ceramah.
Sepanjang mengenali, SS Mufti selalu tegaskan. Orang bidang syariah bukan sekadar hafal matan atau hafal hukum semata. Jika hanya begitu, ChatGpt lebih pantas dalam memberi jawapannya.
Ketika dalam video di TOT Fiqh al-Mizan baru-baru ini, kita boleh faham. SS Mufti lebih menggunakan kaedah ‘Mumarasah Tathbiqiyyah’ atau dipanggil latihan Aplikasi Praktikal ilmu Usul Fiqh sesama pelajar.
Itulah teknik biasa melatih bermain Fiqh. Bukan terus jump to conclusion.
Begitulah Ust Fauwaz yang saya kenali bila berdiskusi. Beliau selalu mengajar pelajar syariah agar siap siaga menempuh isu hukum baru yang bakal mendatang.
Itulah kelebihan Usuliyyin dalam menganalisis sesuatu hukum. Agar syariah yang indah itu dipersembahkan juga dalam wajah yang indah. Bagi mengelak “The product is good but the salesman are bad”.
Alhamdulillah. Saya bersyukur kerana Allah telah mempertemukan kepada saya seorang guru juga seorang sahabat yang banyak membentuk ‘fikrah syariah’ saya sendiri secara peribadi.
Beliaulah AlFadhil SS Mufti Ustaz Fauwaz Fadzil. Mengenali beliau lebih belasan tahun. Seusai beliau pulang dari al-Azhar dan Dar al-Ifta Mesir.
Berbekalkan wacana luar biasa beliau bersama Syeikh Dr Imarah dan ketajaman Aqliah beliau bersama Syeikh Taha Jabir Alwani. Saya jatuh cinta, lalu memujuk beliau menjadi tenaga pengajar tetap Rumah Fikir di Bangi iaitu tempat pengajian kendalian saya sendiri.
Saya secara peribadi walaupun merangkak-rangkak menamatkan pengajian Usul fiqh di universiti sama ada di peringkat Sarjana Muda mahupun Master, tetap berasa kering dan gersang dengan luasnya ‘Lautan Usul Fiqh’ tatkala bersama beliau dalam setiap pertemuan. Manhaj Aqliyyah dan Fikriyyah yang luar biasa bagi seorang ulama Muda.
Akhirnya di rumah saya sendiri, bersama rakan-rakan kami adakan seakan ‘Usrah’ bulanan bersama Ust Fauwaz membaca kitab Nihayatul Suul Imam Isnawi, Kitab I’lam Muwaqqi’n Ibn Qayyim dan al-Ihkam Al-Amidi. Bertukar-tukar kitab. Bertukar-tukar isu semasa.
Dengan beliau terasa macam anak tadika dilatih Tadarrub dan Tamarin Usuliyyah. Baca topik simple bab ‘taharah’ kitab Mughni Ibnu Qudamah saja tapi huraian selama 2 jam manhaj istidlal. Sungguh kenyang sekenyang-kenyangnya.
Dengan Al-Fadhil Ustaz Fauwaz Fadzil ini tidak pernah saya lepak makan, mengopi tanpa terkepit bersama beliau kitab di mana-mana.
Setiap kali makan bersama, pasti berakhir dengan diskusi ilmiah. Kitab akan dibuka di mana sahaja kami melepak makan. Dalam gelak tawa terbahak-bahak. Ada sahaja helaian kitab akan disyarah walau satu perenggan sebelum bersurai.
SS Mufti lah yang mewajibkan saya membaca 50 helai apa sahaja bahan bacaan setiap hari. Walau saya tak termampu. Tetapi saya jadi saksi setiap hari itulah amalan beliau.
Tak mustahil jika para pensyarah Universiti, alim ulama, Qadhi, guru takmir dan ribuan ilmuan di Malaysia yang mengambil ilmu dari beliau.
Saya yang jahil ini tidak layak untuk ‘clarify’ siapa yang alim, siapa yang tidak. Bagi saya, netizen juga begitu.
Namun, kami mendengar sendiri bagaimana pengiktirafan Setiausaha Kesatuan Ulama Sedunia Syeikh Ali Qarahdaghi mengiktiraf beliau.
Bukan sekadar ‘Qabiltu ala netizen’ seusai tazkirah. Bukan sekadar Syeikh pernah ikuti kuliah Ust Fauwaz. Bukan sekadar iktiraf umum demi menjaga hati anak murid. Namun kepercayaan Syeikh kepada beliau luar biasa.
Sesi munaqasyah, sesi latihan berkala, sesi munazarah yang dilazimi al-Fadhil SS Mufti bersama para Syuyukh yang bukan seorang dua menjadikan keluasan ilmunya diiktiraf.
Diakui pula oleh Syeikh Fadlu Murad yang berkhidmat sebagai Setiausaha Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa dalam Kesatuan Ulama Sedunia. Beliau diberi izin syarah, terjemah dan membawa Fikrah Gagasan Fiqh Mizan di mana-mana.
Walau beliau banyak mengambil istifadah dari Syeikh Ali Jumuah serta banyak terkesan dengan al-Azhari. Namun penghormatan beliau terhadap Ulama Haraki Ikhwan tak pernah kendur.
Itulah watak seorang Tolibul Ilmi. Mengutip khazanah dari semua takaran emas.
Sebab itu. Jika nak menulis tentang “SS Mufti dan Haraki”, pasti panjang lebar tak tidur malam saya lagi.
Namun bila melihat komen yang begitu pedas menyebut :
“Macam ni, baik aku jadi Mufti”
“Mufti Qiyas pun tak reti”
“Lantikan politik macamnilah, tak faqih”
“Macam ni sajakah level Mufti”
Maaf. Kenyataan sebegini buatkan saya yang tiada apa-apa kaitan terasa hati.
Apakah istilah “Kami Sayang Ulama” tidak terpakai bagi Ulama yang Fikrah berbeza? Apakah “Daging Ulama sudah tidak lagi beracun?” Bahkan enak dimakan beramai-ramai dalam suasana ghibah. Berpada-padalah.
Sekali lagi. Saya tiada masalah pada perbezaan pandangan dan ideologi. Ada sahabat saya di luar sana sama ada mewakili parti politik, mahupun non-partisan yang ikhlas dan jujur mengomentari isu video beliau dengan kritikan ilmiah. Teramatlah dipuji.
Namun tidak bagi yang menggunakan kata kesat dan sangkaan buruk pada SS Mufti. Sangat melukai.
Jarang saya menulis panjang berjela sebegini. Saya menulis bukan kerana semata ‘sahabat’ kepada SS Mufti. Walau beliau tiada ramai ‘Jundi Qiyadi’ untuk membalas naratif.
Tetapi simpati melihat bersendirian beliau dibaham. Dan sayangnya serigala itu bukan orang lain, tetapi sebahagiannya dari Abna al-Harakah sendiri.
Sahabat. Bawa bertenang.
Jika tak mampu duduk bersama sealiran Mufti. Tak perlu patahkan kerusi. Ruang diskusi masih luas. Bahasa Mufti juga tidak sekasar seperti pentas ceramah politik. Bezanya hanya sekelumit. Tak perlu pun diguna tukul untuk memecah telur.
Biasanya saya hanya mendiamkan diri tak komen apa-apa isu kontroversi. Saya hanya merapu buat content jalan ke sana sini. Makan restoran apa hari ini.
Siapalah saya untuk berkata-kata. Hanya sekadar ‘Ustaz Duniawi’. Sepatutnya saya hanya layak komen apa perasaan Bella Astillah bertemu Sofiah Barakbah. Itu kan lebih meriah.
BACA JUGA Ekonomi bernilai tinggi dalam RMK-13: Persiapan Malaysia hadapi 2030 dalam era teknologi