MeloSel Selangor Sasar 30,000 Biji Setiap Musim

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Sambutan Hari Melon Kuala Langat oleh YB Dato’ Ir Izham Hashim, EXCO Infrastruktur & Pertanian Negeri Selangor di Pusat Pertanian Kampung Endah, Kuala Langat, Selangor. 9hb Ogos 2025 (Sabtu)

Produk khas negeri, Melon Selangor (MeloSel) yang diusahakan di Pusat Pertanian Kampung Endah bakal dipertingkatkan pengeluarannya kepada 30,000 biji setiap musim berbanding 10,000 biji pada masa ini.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Dato’ Ir Izham Hashim berkata, ladang di Kampung Endah merupakan pusat tanaman terbesar bagi MeloSel, diikuti Sabak Bernam serta beberapa kawasan lain yang diusahakan dalam skala lebih kecil.

“Penanaman melon ini semakin popular. Kita akan terus memperluaskan kawasan penanaman kerana potensinya besar,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Melon Kuala Langat di Pusat Pertanian Kampung Endah, di sini, hari ini.

Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan menjadikan MeloSel antara buah tempatan wajib digunakan dalam pemberian bakul buah pada program rasmi, menggantikan buah import seperti epal.

“Kita mahu jadikan MeloSel sebagai produk kebanggaan Selangor, bukan sahaja untuk kegunaan harian tetapi juga sebagai barangan promosi dan cenderahati. Langkah ini juga akan menggalakkan pertanian bernilai tinggi bagi meningkatkan pendapatan petani, selaras dengan Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA),” jelasnya.

MeloSel merupakan salah satu projek di bawah Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1), membabitkan pembangunan tanaman bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi moden.

Pada 3 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan komitmen kerajaan negeri memperkukuh sekuriti makanan negara melalui projek pertanian moden, termasuk penghasilan MeloSel di Felda Sungai Tengi Selatan yang menjadi contoh kejayaan sistem hidro-fertigasi bernilai tinggi









