Ada apa dengan posting Anwar makan di restoran Amir Raja Lawak?

Posting Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook yang baru-baru ini singgah ke gerai milik pelawak popular Amir Raja Lawak masih menjadi bualan sehingga kini.

Dalam hantaran tersebut, Anwar menikmati hidangan di restoran berhampiran Stadium Sultan Muhammad IV sambil bertemu sendiri dengan Amir, yang ketika itu sedang berdepan ujian berat apabila bapanya menghidap masalah kesihatan serius.

Anwar menitipkan doa dan kata semangat supaya Amir terus tabah, selain menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga.

Beliau turut memuat naik foto bersama pelawak berkenaan.

Hantaran Facebook beliau itu sehingga kini meraih puluhan ribu tanda suka, lebih banyak berbanding hantaran-hantaran beliau yang lain.

Ramai memuji tindakan Anwar yang dianggap cukup prihatin selain menganggap ia satu bentuk sokongan terhadap perniagaan selebriti berkenaan.

“Ini PM yang terbaik kita ada untuk dekad ini. Tak ada lagi pemimpin lain lebih sesuai untuk jawatan PM. Teruskan berkhidmat untuk rakyat PMX. Tahniah Madani…,” komen Nuruddin.

‘Saya sangat menghargai keprihatinan PMX untuk saudara Amir. Semoga ujian ini membuatkan kita semua lebih kuat dan sabar. Teruskan berdoa!,” kata Qaleef pula.

Amir turut meninggalkan komen: “Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak Dato’ Seri di atas keperihatinan dan sudi singgah ke kedai saya yang serba sederhana ini”.

Terdahulu, Amir Raja Lawak berdepan tindakan undang-undang oleh stesen televisyen Awesome TV.

Amir, bersama dua pelawak lain iaitu Mamak Puteh dan Abu Mamu, disaman berhubung dakwaan bahawa stesen itu gagal membayar bayaran penampilan mereka dalam sebuah program.

Awesome TV menegaskan bahawa tanggungjawab pembayaran sebenarnya terletak pada syarikat penerbit, bukannya stesen itu.

Kontroversi ini mendapat perhatian umum selepas isu berkenaan turut dibangkitkan di Parlimen. Amir pula pernah menuntut bayaran tertunggak sebanyak RM18,000 wang yang diperlukan bagi menampung kos rawatan bapanya.

BACA JUGA Selepas lapan jam, bedah siasat Zara akhirnya selesai