Bedah siasat Zara Qairina telus, tiada ‘tangan ghaib’ dari mula sampai habis – Peguam

Peguam kepada keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir, menjadi satu-satunya wakil keluarga yang menyaksikan proses bedah siasat dibuat selama lapan jam di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) malam tadi.

Beliau mengesahkan bahawa proses yang bermula dari jam 11 pagi hingga jam 7.30 malam itu berjalan lancar tanpa sebarang campur tangan atau gangguan tangan-tangan ghaib.

“Saya boleh beritahu perjalanan post-mortem sangat baik. Tidak ada unsur-unsur seperti yang di media sosial, seperti dakwaan ada ‘tangan-tangan’ tertentu, semua itu tiada.

“Saya sendiri lihat dan saksikan bagaimana arwah Zara diperiksa sehingga selesai, termasuk dengan semua prosedur yang diperlukan,” katanya ditemui media malam tadi.

Difahamkan laporan bedah siasat akan disediakan oleh pasukan forensik perubatan dan berkemungkinan mengambil masa sehingga dua bulan.

Ditanya mengenai perjalanan bedah siasat, Shahlan berkata, beliau melihat sendiri doktor memeriksa jenazah arwah Zara secara menyeluruh.

“Di dalam bilik forensik, doktor itu saya tengok macam mana dia (jenazah arwah) diperiksa, diperiksa secara menyeluruh.

“Beberapa orang anggota polis juga masuk, tetapi yang masuk ke dalam bilik bedah hanya saya dengan pasukan forensik. Sebab memang itu keinginan keluarga arwah Zara,” ujarnya.

Penggalian semula kubur arwah Zara dilakukan selepas mendapat perintah Majistret Zuraini Ali Musa melalui prosiding secara aplikasi Zoom yang didengar di IPD Papar tengah hari Sabtu.

Jenazah Allahyarham Zara sebelum ini dikebumikan pada 17 Julai lalu selepas disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, Papar, sehari sebelum itu

BACA JUGA Ada apa dengan posting Anwar makan di restoran Amir Raja Lawak?