Kes Zara Qairina dah jadi isu politik, peguam pun dituduh bersubahat
Kes membabitkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Kinarut dilihat sudah jadi isu politik.
TikTokers Harun Mohd Shah berkata demikian apabila wujud pihak tertentu menuduh peguam keluarga Zara pula sebagai bersubahat.
“Peguam yang dilantik oleh keluarga Zara pun dituduh bersubahat. Macam-macamlah netizen.
“Bila peguam Zara keluarkan kenyataan semalam beritahu post-mortem berjalan dengan lancar dan telus, netizen tuduh peguam Zara bersubahat.
“Kau nak dengar yang macam mana? Nak dengar ikut selera tekak kau, baru nak sokong? Bila tak kena dengan selera tekak, kau kata dia bersubahat?” bidasnya.
Semalam, peguam, Shahlan Jufri memaklumkan proses bedah siasat jenazah Allahyarham Zara di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), di Kota Kinabalu, berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Shahlan turut memberitahu beliau sendiri atas permintaan keluarga arwah melihat prosedur bedah siasat itu hingga akhir bermula daripada jam 11 pagi hingga jam 7.30 malam semalam bersama pasukan forensik.
Peguam berkenaan berkata, beliau melihat sendiri doktor memeriksa jenazah arwah Zara secara menyeluruh.
“Tidak ada unsur-unsur seperti yang di media sosial, seperti dakwaan ada ‘tangan-tangan’ tertentu, semua itu tiada,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, laporan bedah siasat itu akan disiapkan oleh pasukan forensik paling lewat dalam tempoh dua bulan.
“Ini kerana ia membabitkan beberapa orang pakar dan semua pakar ini akan berbincang sebelum memuktamadkan laporan post-mortem itu,” kata peguam berkenaan lagi.
Mengulas lanjut, Harun Mohd Shah berpendapat pihak yang melakukan tohmahan terhadap peguam keluarga Zara sebagai melampau.
“Kau pula lebih-lebih. Rakyat Malaysia mahukan keadilan untuk Zara. Tapi kalau peguam Zara pun dituduh bersubahat, kau nak apa sebenarnya?
“Ini bukan lagi keadilan dah. Ini bertindak ikut emosi, hawa nafsu. Dah jadi isu politik.
“Sama-sama kita doakan keadilan untuk Zara,” kata Harun lagi.
BACA JUGA Siap ada lagu tema, ribuan sertai himpunan tuntut keadilan buat Zara