Perkembangan terkini Jalur Gemilang dipasang terbalik

Polis telah merakam keterangan dari sekurang-kurangnya 10 orang berhubung insiden bendera Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di sebuah kedai perkakas di Jalan Bertam Perdana, Kepala Batas di Seberang Perai Utara (SPU).

Pemilik kedai berusia 59 tahun yang pada awalnya ditahan, telah dilepas dengan jeminan polis selepas diambil keterangan berkait kejadian itu, kata Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman.

“Secara keseluruhan, lebih 10 orang telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes itu dan kami juga telah melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

“Polis telah menghantar kertas siasatan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya hari ini dan tunggu arahan lanjut,” katanya pada sidang media hari ini.

Berdasarkan siasatan polis, pemilik kedai telah mengibarkan bendera secara terbalik, manakala seorang pekerjanya berada di sebelah telah merekodkan insiden terbabit.

Video yang tular pula dirakam oleh orang awam yang berada di situ

Anuar juga mengesahkan polis menerima maklumat ada pihak mahu mengadakan perhimpunan di depan kedai perkakasan berkenaan, namun dinasihatkan tidak meneruskan tindakan bagi mengelak sebarang masalah ketenteraman di kawasan terbabit.