PMX saran bina sekolah menegak di Residensi Aman Madani
Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan pembinaan sekolah menegak di kawasan Residensi Aman Madani bagi menampung keperluan pendidikan penduduk setempat.
Perdana Menteri berkata, cadangan itu susulan perbincangan bersama pemaju, kementerian dan agensi berkaitan selepas perasmian majlis pecah tanah residensi berkenaan di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur pada 6 Ogos lalu.
“Walaupun terdapat sekolah rendah berdekatan kapasiti yang terhad menuntut pembangunan sekolah baharu selari dengan pertambahan penduduk.
“Justeru, saya mencadangkan supaya dibina sekolah menegak dalam kawasan pembangunan atau sebuah sekolah berhadapan residensi yang dihubungkan melalui jejantas,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sekolah tersebut terbuka kepada semua penduduk setempat dan dilengkapi kemudahan selaras dengan kerangka Madani, termasuk tadika, surau, klinik dan pusat keselamatan.
“Pastinya semua prasarana lengkap ini diwujudkan demi keselesaan rakyat,” kata PMX lagi.
Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pernah bercadang membangunkan sekolah dengan konsep menegak.
Sekolah yang menempatkan dua blok bangunan dengan kapasiti antara 10 hingga 17 tingkat di sekitar pusat bandar itu bagi memenuhi keperluan tanah yang terhad serta pertambahan penduduk di ibu negara.
Pada 30 Julai lalu, Kementerian Pendidikan dilaporkan telah memuktamadkan Panduan Perancangan Pembangunan Sekolah Secara Menegak dengan mengambil kira beberapa prinsip reka bentuk asas termasuk pengawasan dan keselamatan murid.
BACA JUGA Selepas Pasti dikritik, MP Pas beri alasan guru diberi imbuhan lain