Akmal Saleh beri respon lepas Pemuda UMNO Terengganu siar Jalur Gemilang salah

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh tampil memberi respon selepas Pemuda UMNO Terengganu didakwa menyiarkan grafik dengan imej Jalur Gemilang yang salah.

Dalam satu video di Facebook, Akmal mengesahkan kesilapan itu memang datang dari sayap pemuda parti itu dan beliau mengambil sepenuh tanggungjawab.

Beliau menggesa agar satu laporan polis dibuat terhadap pemudanya yang tersilap mereka poster berkenaan dan mahukan satu tindakan keras dikenakan oleh pihak berkuasa.

“Saya dah sahkan bahawa kesilapan itu memang datang daripada orang yang buat poster itu dan kita bertanggungjawab.

“Saya sendiri hari ini menggesa bahawa satu laporan polis dan tindakan yang keras perlulah dikenakan kepada orang yang buat ini.

“Sebab apa? Saya tak nak hanya minta maaf walaupun ini adalah pemuda UMNO Terengganu, pemuda saya, saya tak nak mereka hanya minta maaf,” katanya.

Jelas beliau, seruan untuk tindakan keras diambil untuk pembuat grafik berkenaan kerana untuk menunjukkan rasa hormat kepada lambang negara tidak kira bangsa atau fahaman politik.

“Walaupun ini adalah geng saya, salah tetap salah dan saya minta polis siasat dan kenakan tindakan yang keras kepada orang yang buat poster ini.

“Sebab ini satu tindakan yang tidak boleh diterima walaupun dia datang daripada kawan kami sendiri,” ujarnya.

Terdahulu dalam keadaan Akmal lantang menyerang seorang pemilik kedai perkakasan di Pulau Pinang kerana mengibarkan bendera negara secara terbalik, sayap pemudanya sendiri pula melakukan kesalahan sama dengan menyiarkan grafik Jalur Gemilang yang salah.

Jalur Gemilang dalam grafik tersebut hanya mempunyai 12 jalur, bukannya 14 seperti yang sepatutnya.

Media melaporkan kesilapan itu disedari oleh pengguna media sosial sehingga ramai mempersoalkan sama ada Akmal akan ‘menyerang’ Pemuda Umno Terengganu atau tidak.

BACA JUGA Malaysia–Bangladesh sepakat buka lembaran baharu: Perjanjian pertahanan, LNG & ekosistem halal antara dimeterai