Keadilan untuk Zara Qairina: Dari Doa ke Reformasi Sistemik
Arahan tegas DYMM Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya seluruh masjid di Pahang mengadakan solat hajat bagi menuntut keadilan untuk adik Zara Qairina adalah isyarat jelas bahawa kes ini bukan sekadar tragedi peribadi, tetapi satu amaran nasional.
Doa rakyat kini berpadu dengan titah seorang raja — tanda bahawa keadilan mesti ditegakkan tanpa kompromi.
Buli bukanlah “kenakalan” atau “gurauan keterlaluan” seperti yang sering cuba dirasionalisasikan. Ia adalah perbuatan jenayah yang meninggalkan trauma fizikal dan psikologi mendalam, malah ada yang berakhir dengan kecacatan dan malah kehilangan nyawa.
Kes adik Zara Qairina mengingatkan kita bahawa budaya buruk “menutup kes” atau “menyapu di bawah permaidani” di institusi pendidikan sekolah, universiti, atau pusat tahfiz adalah pengkhianatan, kedurjanaan dan menidakan terhadap amanah masyarakat.
Statistik Buli Terkini di Malaysia
Data rasmi Kementerian Pendidikan yang juga pernah dimaklumkan kepada parlimen membuktikan masalah ini semakin serius:
• 2022: 3,887 kes buli dilaporkan.
• 2023: 6,528 kes, meningkat hampir dua kali ganda.
• 2024 (hingga Oktober): 6,208 kes direkodkan.
Walaupun lebih 90% kes diselesaikan (entah apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian) dalam tempoh 15 hari mengikut prosedur siasatan, angka tinggi ini jelas menunjukkan kegagalan pencegahan dan kelemahan penguatkuasaan di peringkat institusi pendidikan.
Pengajaran dari Negara Lain
Beberapa negara telah membuktikan bahawa undang-undang khusus dan prosedur ketat mampu mengawal masalah buli:
- New Jersey, AS – Anti-Bullying Bill of Rights: pelaporan wajib segera, pegawai khas anti-buli di setiap sekolah, serta minggu pendidikan “Respect Week”.
- Filipina – Anti-Bullying Act 2013: semua sekolah, awam dan swasta, wajib melaksanakan polisi anti-buli dengan pemantauan.
- Chile – School Violence Law: mewujudkan jawatankuasa khas untuk menangani kes buli dan keganasan termasuk siber.
- Perancis – hukuman penjara sehingga 10 tahun untuk kes buli yang mengakibatkan kematian, larangan media sosial untuk pelaku, dan kelas empati mingguan.
Malaysia masih bergantung kepada Kanun Keseksaan, Akta Kanak-Kanak, dan beberapa peraturan pentadbiran yang berpecah-pecah — menyebabkan tindakan terhadap pembuli kadang-kadang tidak setimpal dengan kesalahan. Kita juga merasa sedih melihat Menteri yang terlalu bersifat sedikit longgar dan “too defensive” serta dilihat “terlalu perlahan” dalam menggerakkan tindakan susulan sesegera mungkin.
Tragedi yang Menggoncang Negara
- Kes Zulfarhan Osman di UPNM (2017)
Pegawai kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain diseksa dengan seterika wap oleh rakan-rakannya sehingga melecur 80% tubuh, dan meninggal dunia di Hospital Serdang. Selepas siri perbicaraan panjang, enam pelaku dihukum penjara 18 tahun. Kes ini membuktikan kegagalan sistem kawalan dalaman institusi pertahanan dan kelewatan dalam tindakan menyelamatkan mangsa.
- Kes Pelajar Tahfiz Kelantan – Wan Ahmad Faris (2013)
Pelajar tahfiz ini ditemui tergantung di tandas asrama. Mahkamah Koroner mengesahkan ia pembunuhan, namun pelaku tidak pernah dikenal pasti. Kes ini kekal misteri lebih sedekad, sehingga keluarga mangsa terpaksa memohon pembukaan semula siasatan dan memfailkan saman bagi menuntut keadilan.
Dua tragedi ini, bersama kes Zara Qairina, menunjukkan bahawa keganasan dan buli bukan sahaja berlaku di sekolah menengah, tetapi merentasi peringkat pendidikan tinggi dan institusi agama. Lebih parah, ia sering diselubungi oleh kemungkinan besar sikap melindungi pelaku dan membisukan saksi.
Tuntutan Rakyat
Keadilan mesti dilihat dalam tiga dimensi:
- Hukuman Setimpal untuk Pelaku
Tiada kekebalan undang-undang. Hukuman perlu setimpal dengan kesan kepada mangsa, termasuk hukuman penjara berat bagi kes serius. - Pertanggungjawaban Penuh Institusi
Sekolah, universiti, dan pusat tahfiz mesti diwajibkan melaporkan semua kes buli kepada pihak berkuasa — bukan hanya kepada pentadbiran dalaman. Guru Besar, Pengetua atau Naib Canselor hendaklah digantung serta-merta bagi menggambil tanggung-jawab sementara siasatan bebas dilakukan. - Tindakan terhadap Pihak yang Menyembunyikan Kes
Sesiapa yang menghalang proses keadilan, sama ada guru, pegawai institusi, atau rakan pelajar, mesti disiasat dan seterusnya menghadapi hukum berat.
Kesimpulan
Solat hajat yang diarahkan DYMM AlSultan adalah manifestasi solidariti rohani, namun keadilan tidak boleh berhenti hanya pada doa. Ia memerlukan tindakan undang-undang tegas, reformasi menyeluruh sistem pendidikan, dan akauntabiliti tanpa kompromi.
Nama Zara Qairina, Zulfarhan Osman, dan Wan Ahmad Faris mesti menjadi simbol perubahan — bukti bahawa Malaysia tidak lagi bertolak ansur dengan budaya buli, keganasan, dan penutupan kes. Keadilan yang ditegakkan hari ini akan menjadi benteng masa depan anak-anak kita dan generasi mendatang. Inilah masanya Generasi Madani dicorakan.