Malaysia–Bangladesh sepakat buka lembaran baharu: Perjanjian pertahanan, LNG & ekosistem halal antara dimeterai
Hubungan strategik Malaysia dan Bangladesh melangkah ke tahap baharu apabila kedua-dua negara mencapai pelbagai persetujuan penting merangkumi pertahanan, ekosistem halal, gas asli cecair (LNG) dan pendidikan tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, turut disepakati adalah kerjasama strategik antara institusi penyelidikan dan komuniti perniagaan kedua-dua negara.
Beliau berkata demikian dalam perkongsian di Facebook rasminya selepas mesyuarat dua hala yang disifatkan Anwar sebagai “penuh makna”.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, mesyuarat tersebut memberi makna besar dalam menilai kemajuan hubungan Malaysia dan Bangladesh selain meneroka bentuk kerjasama baharu yang dapat memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara.
“Perbincangan mencakupi pelbagai bidang utama termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga kerja, pendidikan, pelancongan, pertahanan, serta pengukuhan kerjasama dalam ekosistem halal dan pertukaran budaya,” kata beliau.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Tambun berkenaan juga menzahirkan penghargaan atas sokongan konsisten Bangladesh terhadap isu-isu kemanusiaan, khususnya terkait pelarian Rohingya.
“Saya percaya hubungan akrab Malaysia dan Bangladesh ini akan terus terjalin berteraskan hormat, kepercayaan, dan komitmen jitu untuk membawa kemajuan bersama, bukan sahaja demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara, malah demi keamanan, kestabilan, dan kemakmuran rantau ini,” kata Perdana Menteri lagi.

Untuk rekod, hubungan perdagangan dua hala antara Bangladesh dan Malaysia telah terjalin kukuh sejak terbinanya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada 31 Januari 1972.
Perdagangan antara Bangladesh dan Malaysia berkembang pesat sehingga menjadikan Bangladesh rakan dagang kedua terbesar bagi Malaysia di Asia Selatan, selepas India.
Jumlah perdagangan Malaysia–Bangladesh mencecah sebanyak RM12.38 bilion (AS$2.88 bilion).
Nilai eksport Bangladesh ke Malaysia adalah AS$293.51 juta manakala import Bangladesh dari Malaysia adalah AS$2.60 bilion.
BACA JUGA Sekolah, YIK penyumbang kepada kes Faris hilang bukti