Malaysia jadi satu-satunya negara terima daging Hanwoo halal Korea, Mat Sabu tinjau sendiri proses sembelihan
Malaysia kini menjadi satu-satunya negara yang menerima bekalan daging lembu premium Hanwoo halal dari Korea Selatan, selepas syarikat Handawoon FSL Ltd mendapat kelulusan eksport sejak Mei 2023.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, yang melakukan lawatan ke rumah sembelihan Handawoon FSL yang merupakan satu-satunya rumah sembelihan halal yang diiktiraf di Korea Selatan.
Beliau berkata, lawatannya bertujuan untuk melihat sendiri proses sembelihan dan pelapahan daging Hanwoo bagi memastikan bekalan yang sampai ke Malaysia bukan sahaja berkualiti tinggi, malah benar-benar menepati piawaian syariah serta selamat untuk dimakan.

“Alhamdulillah, Handawoon FSL sudah mendapat kelulusan untuk mengeksport daging Hanwoo halal ke Malaysia sejak Mei 2023, dan sambutan daripada rakyat kita sangat positif.
“Buat masa ini, Malaysia adalah satu-satunya negara penerima, dan syarikat ini sedang berusaha meluaskan pasaran ke Emiriah Arab Bersatu (UAE),” katanya.
Mohamad menambah, perkembangan tersebut membuktikan walaupun Korea Selatan bukan negara Islam, mereka mampu menghasilkan produk halal bertaraf antarabangsa.
Malaysia pula, jelasnya, berperanan sebagai pintu masuk strategik untuk produk halal Korea ke pasaran Asia Tenggara dan Timur Tengah.
Beliau berkata, kerjasama seperti ini penting untuk memastikan keterjaminan makanan negara, di samping mempelbagaikan sumber bekalan halal dari pelbagai negara, seterusnya memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal global.
“Insya-Allah, usaha seperti ini akan diteruskan demi masa depan makanan halal yang lebih terjamin untuk rakyat Malaysia,” tambah Mohamad lagi.
BACA JUGA Akmal Saleh beri respon lepas Pemuda UMNO Terengganu siar Jalur Gemilang salah