Kes Zara: Ini dia dua penemuan petugas khas Bukit Aman

Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar mendedahkan bahawa pegawai penyiasat yang menyiasat kes Zara Qairina Mathir gagal menuruti prosedur dengan tidak memohon bedah siasat ke atas almarhum.

Kes tersebut diklasifikasi sebagai mati mengejut.

“Meskipun ibu Zara menandatangani pengisytiharan tidak mahukan bedah siasat, pegawai penyiasat sepatutnya memohon. Ketiadaan bedah siasat bertentangan dengan SOP kami,” kata beliau.

Pegawai penyiasat dan pegawai atasannya itu akan dirujuk kepada Jabatan Integrity dan Pematuhan Standard (JIPS).

Selain itu, Kumar turut menyatakan bahawa kes Zara akan disiasat di bawah peruntukan baharu di dalam Kanun Keseksaan yang menjenayahkan perbuatan buli.

Peruntukan tersebut baharu sahaja dimasukkan sejak bulan lalu.

Dua penemuan ini adalah hasil siasatan pasukan petugas khas Bukit Aman yang telah ke Sabah untuk memastikan siasatan rapi dan telus dalam kes Zara.

Dalam pada itu, bedah siasat ke atas arwah mendapati Zara mati kerana kecederaan serius di bahagian otak kerana ketiadaan oksigen dan aliran darah yang disebabkan oleh mangsa yang jatuh.