Padah ikat tangan, tutup mulut dan menumbuk, 4 pelajar sekolah di Kedah didakwa hari ini
Empat remaja yang dipercayai terlibat dalam dua insiden buli berasingan di Sungai Petani, Kedah, bulan lalu, bakal dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, memaklumkan semua remaja terbabit dalam kejadian itu telah diambil keterangan sebelum ini dan dibebaskan dengan jaminan polis.
“Satu kes buli itu akan didakwa mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan manakala kes kedua akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, dalam kes pertama 14 Julai lepas, dilaporkan satu kejadian kes buli berlaku di sebuah sekolah menengah di Sungai Petani.
Kes itu melibatkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu yang dipercayai dibuli oleh dua rakan sekolahnya kerana perasaan cemburu.
Remaja berusia 13 tahun itu ditemui dengan tangan dan kaki diikat menggunakan tali leher, manakala mulutnya disumbat dengan sapu tangan.
Kejadian itu hanya disedari apabila ibu mangsa mendapati anaknya tidak kelihatan ketika menjemputnya pulang dari sekolah kira-kira jam 6.30 petang, pada 14 Julai lalu.
Beliau kemudian mendapatkan bantuan pengawal keselamatan sekolah untuk mencari anaknya, sebelum ditemui di dalam tandas berkenaan.
Susulan itu, dua remaja perempuan disyaki terbabit dalam kes tersebut diambil keterangan untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Dalam kes kedua, Hanyan berkata, dua remaja lelaki Tingkatan Tiga akan didakwa di mahkamah sama kerana disyaki menumbuk rakannya yang juga pelajar lelaki Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Sungai Petani pada 21 Julai lalu.
Bapa mangsa menyedari kejadian itu selepas dihubungi guru anaknya yang meminta mengambil pelajar berkenaan dari sekolah jam 12.30 tengah hari.
BACA JUGA 12 tahun ibu bapa Faris berjuang tidak akan berhenti