Pemuda Pas diingatkan bela kematian Faris selepas buat solat hajat kes Zara
Pemuda Pas diingatkan tentang kes membabitkan Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai menjadi mangsa bunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada 2013.
Komentar warganet yang turut meninggalkan tanda pagar Justice For Faris itu ketika Pemuda Pas memaklumkan bahawa mereka telah selesai solat sunat hajat khusus untuk mendoakan agar segala urusan buat keluarga Zara Qairina dipermudahkan.
“Mudah-mudahan kes Allahyarhamah Adik Zara ini mendapat pengadilan yang sewajarnya dan siasatan dijalankan secara telus tanpa ada gangguan daripada mana-mana pihak berkepentingan,” menurut Facebook rasmi Pemuda Pas hari ini.

Susulan itu, warganet meninggalkan #JusticeForFaris dalam reaksi balas mereka termasuk kebimbangan suspek buli atau pembunuh Faris kemungkinan sekarang sudah menyertai Pas.
Terdapat juga warga maya yang berharap Yayasan Islam Kelantan (YIK) bertanggungjawab dengan kejadian menimpa Faris yang ditemui tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman di Kok Lanas pada Disember 2013 itu.

“Justice for Wan Ahmad Faris. Mangsa bunuh di bawah sistem yang dikawal selia oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK),” tulis Wanz Betta.
Dalam hal berkaitan, himpunan menuntut keadilan untuk Faris dijadualkan bakal berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, 8 malam pada Sabtu, 16 Ogos ini.
BACA JUGA 12 tahun ibu bapa Faris berjuang tidak akan berhenti