Pengetua, PK HEM, warden asrama sekolah Zara ditempatkan sementara di JPN Sabah
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden SMKA Tun Datu Mustapha di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.
Dalam satu kenyataan pagi ini, KPM memaklumkan keputusan diambil susulan pengumuman pihak polis bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
“KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksana secara menyeluruh, teliti dan tuntas,” katanya.
KPM juga buat kesekian kalinya mengulangi pendirian bahawa kes tersebut adalah keutamaan kementeria itu pada masa ini.
KPM berharap siasatan telus dan sepenuhnya dapat dilaksanakan demi keadilan buat keluarga serta semua pihak terlibat.
Terdahulu kubur Zara digali semula untuk bedah siasat selepas Jabatan Peguam Negara mengarahkan polis menyiasat lanjut kematian remaja berusia 13 tahun itu.
AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut oleh PDRM demi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Kelmarin, Bukit Aman mengumumkan akan mengambil alih siasatan kes berkenaan.
BACA JUGA 12 tahun ibu bapa Faris berjuang tidak akan berhenti