Saman cabar kesahihan Ahli Parlimen Anwar tiada asas undang-undang
Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil menegaskan bahawa saman untuk mencabar kesahihan Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya umum lalu dalam usaha untuk menyingkirkan PMX itu daripada kerusi sah Perdana Menteri adalah satu tindakan yang tiada asas undang-undang untuk dibicarakan (non justiciable).
Beliau berkata, sebarang cabaran terhadap ketidaksahihan seseorang calon pilihan raya hendaklah dilakukan melalui Petisyen Pilihan Raya yang mana tempoh had masa telah berakhir iaitu 21 hari daripada tarikh warta.
“Mahkamah pada peringkat ini tiada bidang kuasa untuk mendengar saman tersebut kerana peruntukan khusus undang-undang mengatasi undang-undang umum (generalia specialibus non derogant),” jelasnya dalam kenyataan sebentar tadi.
Semalam, Pengerusi dan pengasas bersama Pasukan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf), P Waytha Moorthy memberitahu telah memfailkan saman pemula terhadap Anwar dengan mendakwa pelantikan PMX sebagai Ahli Parlimen dan Perdana Menteri melanggar Perlembagaan.
Pengisytiharan rasmi
Waytha yang juga Pengerusi Parti Kemajuan Malaysia (MAP) itu dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, mendakwa pelantikan Anwar sebagai Ahli Parlimen dan Perdana Menteri adalah tidak berperlembagaan kerana Anwar sebelum ini telah hilang kelayakan atas sabitan jenayah dan selanjutnya mendapat pengampunan penuh.
Namun, menurut Waytha dalam sidang media yang dihadiri pemimpin Pas itu , walaupun Anwar menerima pengampunan itu pada 16 Mei 2018, pengampunan tanpa pengisytiharan rasmi tidak mencukupi untuk mengembalikan kelayakan Anwar secara sah.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, pengampunan penuh telah diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Anwar, dan kemenangan beliau dalam PRK Port Dickson tidak pernah dicabar, sekali gus kekal sah.
“Menjadi prinsip undang-undang mantap (trite law) bahawa seseorang tidak boleh menyangkal apa yang dibuat terdahulu (the principle of approbate and reprobate),” tegasnya.
Peguam berkenaan turut berkata, pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri adalah kuasa Yang Di-Pertuan Agong menurut Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.
“Pelantikan ini tidak boleh dicabar di mahkamah sepertimana diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
“Ini adalah pandangan undang-undang adil yang boleh saya berikan bagi meredakan kebimbangan orang ramai,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat untuk memberikan tumpuan dalam membantu kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan ekonomi negara.
Jelasnya, rakyat diharap tidak dimanipulasi oleh pembangkang yang terdesak dengan menunggang isu tersebut.
“Saya yakin pada proses undang-undang yang adil untuk membicarakan saman tersebut,” tambah Faiz lagi.
BACA JUGA Anwar bersama ulama tapi Pas tergamak sertai Hindraf seret PMX ke mahkamah