Jabatan Peguam Negara jawab kes saman Waytha Moorthy Ponnusamy terhadap PMX

Jabatan Peguam Negara menegaskan tiada isu berhubung kelayakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Tambun dan Ketua Kerajaan susulan pengampunan penuh yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Menurut jabatan itu, pihaknya mengambil maklum mengenai tindakan mahkamah difailkan oleh Waytha Moorthy Ponnusamy terhadap Anwar, yang antara lain mencabar kelayakan beliau memegang kedua-dua jawatan berkenaan.

Jelasnya, asas tuntutan itu adalah dakwaan bahawa pengampunan yang diberikan YDPA tidak membatalkan kehilangan kelayakan Anwar di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Seri Anwar bin Ibrahim v Mohd Khairul Azam bin Abdul Aziz [2023] 2 MLJ 545 telah memutuskan YDPA mempunyai kuasa untuk mengampunkan sabitan dan hukuman.

“Perintah Pengampunan yang dititahkan oleh YDPA Ke-15 menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara menjelaskan tidak timbul sebarang isu kehilangan kelayakan Anwar sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Perdana Menteri.

Dalam masa sama, Jabatan Peguam Negara berkata, sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang Ahli Parlimen harus dibuat melalui petisyen pilihan raya.

Tindakan itu diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan difailkan dalam tempoh ditetapkan mengikut Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Semalam, peguam Muhammad Faiz Fadzil turut menegaskan bahawa sebarang cabaran terhadap ketidaksahihan seseorang calon pilihan raya hendaklah dilakukan melalui Petisyen Pilihan Raya yang mana tempoh had masa telah berakhir iaitu 21 hari daripada tarikh warta.

“Mahkamah pada peringkat ini tiada bidang kuasa untuk mendengar saman tersebut kerana peruntukan khusus undang-undang mengatasi undang-undang umum (generalia specialibus non derogant),” jelasnya yang juga Setiausaha Agung AMANAH.

Pada 12 Ogos lalu, Waytha Moorthy Ponnusamy yang juga Pengerusi dan Pengasas bersama Pasukan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) memberitahu telah memfailkan saman pemula terhadap Anwar dengan mendakwa pelantikan PMX sebagai Ahli Parlimen dan Perdana Menteri kononnya melanggar Perlembagaan.

BACA JUGA Pelik, masa sidang media ada bersama, tiba-tiba Pas kata tiada kaitan dengan Waytha Moorthy