Lelaki Muslim berpakaian wanita: Apa kata Menteri Agama?
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan bahawa mana-mana lelaki Muslim termasuk yang terbabit dalam bidang fesyen perlu menghentikan perilaku yang bertentangan dengan ajaran dan nilai agama.
Bekas Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) itu berkata, hadis nabi juga ada menyebut sesiapa yang menyerupai mana-mana bangsa, dia boleh dianggap sebagai sebahagian daripada bangsa itu.
Tegas Na’im, teguran membabitkan tindakan segelintir lelaki beragama Islam berpakaian wanita juga pernah disuarakan pihak berkuasa agama sebelum ini.
“Kita nak menerapkan nilai ini yang ada dalam al-Quran dalam kalangan lelaki-lelaki di Malaysia ini.
“Kalau pendekatan yang dibawa dalam fesyen ini cuba nak bawa menyerupai wanita contohnya dan sebagainya dengan linggang-lingguknya yang keperempunan macam itu, bagaimana kita nak bawa nilai qawwam (pemimpin) tadi tu?
“Kita tekankan semula, untuk mereka yang terlibat dalam urusan ataupun perkara yang cuba untuk meniru walaupun dia seorang lelaki cuba nak meniru itu…untuk tidak meneruskan cara yang sama, sebab ini sudah tentu bertentangan dengan nilai agama itu sendiri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Himpunan Sukarelawan Dakwah MABIMS (HiSDAM) 2025, di Hotel The Everly, Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi tidak senang orang awam termasuk pengguna media sosial terhadap tindakan sekumpulan lelaki mengenakan pakaian seperti wanita termasuk gaun, aksesori dan penampilan yang mencolok mata pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2025, baru-baru ini.
Aksi segelintir lelaki berpakaian menyerupai wanita ketika menghadiri program itu mengundang kecaman banyak pihak di media sosial.
Bahkan, warga maya turut menggunakan jolokan KL Fondan Week untuk acara fesyen berkenaan.
BACA JUGA Jabatan Peguam Negara jawab kes saman Waytha Moorthy Ponnusamy terhadap PMX