NUNJI jadi jambatan eratkan Kerajaan Persekutuan dengan ulama, guru pondok di Kelantan

OLEH JAMZURI ARDANI

Optiknya memang boleh meresahkan pihak Pas. Susuk tubuh PMX yang selama ini diserang dan ditohmah sebagai anti Islam itu dilihat menyantuni para ulama dan guru pondok di negeri yang sepenuhnya dikuasai Pas.

Kemesraan yang jelas ketara, senyuman yang saling menyapa, salam dan peluk tanda bersaudara, itulah yang nampak ketara.  Imej yang tertera segar di kepala.

Ia ibarat kisah perang Alesia di zaman Rom purba dahulu kala di mana satu pasukan kecil tentera menyelinap masuk ke dalam kubu musuh dan berjaya melemahkan pertahanan kubu tersebut.

Retorik kebencian yang cuba ditiup oleh propagandis Pas ke atas Kerajaan MADANI jadi semakin hambar, terutamanya dalam kalangan masyarakat konservatif Melayu Muslim. 

Tok Guru Pondok sendiri menegur perbuatan membaca Qunut Nazilah oleh MP Pas ke atas PMX sebagai perbuatan yang haram di sisi agama. Ini ibarat satu penampar deras ke muka Pas.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, semasa Majlis Perasmian Ijtima’ MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di Machang, Kelantan.9 Ogos 2025. AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri.

Ijtimak Madani Ulamak Dan Guru Pondok Kelantan 2025 berjaya mengumpul ribuan hadirin.

Majlis ini diadakan dengan kerjasama pelbagai pihak di peringkat Kerajaan Persekutuan dan wakil dari institusi pengajian pondok Kelantan.

Ia mempertautkan hubungan mesra antara para ulama, guru-guru pondok, dan golongan agamawan dengan pentadbiran kerajaan MADANI pimpinan PMX.

Pun begitu, nadi penggerak sebenar kepada program ini ialah Akademi NUNJI yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Akademi NUNJI lah yang mengatur pertemuan awal, membentuk pasukan kerja, menyelaras agensi-agensi sokongan, dan yang paling penting mendapatkan komitmen dari PMX sendiri untuk bersama dalam program ini.

Berbulan-bulan lamanya Dr Mujahid dan pasukannya ‘berkampung’ di Kelantan. Beliau rupanya ada keistimewaan tersendiri.

Beliau bukan sahaja bijak mengartikulasi sesuatu wawasan besar untuk dibawa ke dalam kerangka pentadbiran negara, tetapi juga menyusun kerja secara terperinci.

Biasanya tokoh besar tidak ambil tahu sangat ‘the nitty gritty stuffs’, namun Dr Mujahid mahu program ini berjaya dan dia beri tumpuan besar untuk menjayakannya.

Boleh dikatakan pasukan NUNJI lah yang menjadi urusetia program itu. Program yang dianjurkan bukanlah program politik kepartian. Ia lebih kepada program dakwah yang merentasi sempadan politik partisan. Akademi NUNJI pula berdaftar sebagai NGO.

Namun begitu, apa sahaja program yang menampilkan imej agama ke atas PMX boleh mendatangkan keresahan besar buat Pas.

Ini kerana naratif politik Pas adalah dengan membina eksklusiviti agama untuk kelompoknya sahaja.

Sebarang pengembangan imej agama di luar dari kelompok mereka adalah anti-thesis kepada naratif politik Pas ini.  Itu punca keresahan mereka.

Tahniah NUNJI. Tahniah Dr Mujahid. Tahniah AMANAH. Teruskan usaha pengembangan kefahaman Islam yang wasathi dan rahmah.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, semasa Majlis Perasmian Ijtima’ MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di Machang, Kelantan.9 Ogos 2025. AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri.

BACA JUGA Pantun balas untuk Haji Hadi