PN tuntut projek LRT, MRT di Langkawi

Wakil Perikatan Nasional (PN) menegaskan kepentingan perkhidmatan LRT atau MRT di Langkawi sebagai pilihan alternatif kepada cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan destinasi pelancongan itu dengan tanah besar.

Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berkata mod pengangkutan kereta api itu lebih sesuai bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta boleh menambah keindahan pulau terbabit.

“Saya cadangkan kita memikirkan bentuk pengangkutan lain ke Langkawi, contohnya kereta api tak kira LRT atau MRT.

“Kita tidak mahu jambatan yang membawa masuk kereta ke Langkawi,” katanya dalam perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Suhaimi yang juga Pengerusi Bersatu Kedah itu berkata, pembinaan laluan kereta api ke Langkawi juga boleh dimanfaatkan untuk penyaluran infrastruktur lain seperti paip air dari tanah besar.

“Di bawah laluan LRT atau MRT itu, mungkin boleh dibina seperti jambatan Pulau Pinang semua kabel dan paip disatukan di bawah landasan,” katanya.

Beliau menambah sumber utama bekalan air di Langkawi ketika ini diperoleh melalui paip dasar laut sepanjang 37km yang sudah berusia lebih 45 tahun.

“Setelah lebih 30 tahun beroperasi, saluran paip ini mengalami keuzuran teruk dan memerlukan banyak peruntukan untuk membaiki kerosakan,” ujarnya.

Cadangan pembinaan MRT dari Alor Setar ke Kuah pernah dibangkitkan Suhaimi pada sidang Dewan Rakyat 19 September 2023 berhubung masalah feri ke Langkawi.

Walau bagaimanapun Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dalam reaksinya ketika itu berkata, cadangan tesebut mungkin sukar kerana merentasi lautan tidak seperti di Kuala Lumpur.

Loke juga menambah Kementerian Pengangkutan belum menerima permohonan kerajaan Kedah untuk membina LRT di Langkawi.

Pada 29 April 2024, Permodalan Kedah Bhd (PKB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat Korea Selatan Royal Eco Train Development (RETD) untuk mengkaji pembangunan sistem LRT dari Terminal Feri Kuah ke Pantai Cenang.

BACA JUGA NUNJI jadi jambatan eratkan Kerajaan Persekutuan dengan ulama, guru pondok di Kelantan