Selepas terima Anugerah Emas, Ayam Bismi buat kenduri makan percuma

Syarikat Ayam Bismi menganjurkan Majlis Kesyukuran dan kenduri makan percuma untuk orang ramai hari ini, selepas berjaya meraih Anugerah Emas Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 dengan hadiah wang tunai RM60,000.

Anugerah itu diberikan bersempena Sambutan Jubli Emas HPPNK yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu.

Dalam satu poster dikongsikan di Facebook, majlis bermula jam 12 tengah hari di Rumah Makan Percuma itu akan menyajikan menu istimewa gulai daging lembu, rias pisang dan ayam goreng berempah.

Majlis itu bertujuan berkongsi rezeki serta meraikan sokongan masyarakat terhadap syarikat tersebut.

Penganjur mempelawa orang ramai untuk hadir membawa keluarga dan rakan, sambil menikmati hidangan secara percuma.