Isu Jalur Gemilang: ‘Jangan jadi lebih sudu dari kuah’
Pemuda AMANAH Nasional menegaskan bahawa isu Jalur Gemilang tidak harus terus dimainkan sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis melaksanakan tanggungjawab untuk menyiasat sebarang pelanggaran.
Exconya, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang terus menghangatkan isu Jalur Gemilang amat dikesali.
“Negara ini sudah ada hukum, sudah ada undang-undang, jangan jadi lebih sudu dari kuah, hingga demi nampak relevan sanggup menunggang isu kerana yang menunggang akhirnya rebah, dan yang terlalu mengacau kuah, hilang manis hidangannya,” kata beliau.
Beliau berkata, rakan komponen Kerajaan Perpaduan malah pihak polis telah menasihatkan dan mengarahkan isu tersebut dihentikan.
“Lebih mengecewakan, tindakan ini bukan sekadar meremehkan pandangan anggota Kerajaan Perpaduan, tetapi turut dilakukan seiring dengan parti lawan dan seakan-akan menggadaikan semangat kebersamaan demi percaturan politik sempit.
“Ironinya, YB Akmal seakan-akan lupa bahawa sayap Pemuda partinya sendiri, iaitu Pemuda UMNO Terengganu, baru-baru ini memuat naik gambar Jalur Gemilang secara terbalik dalam poster mereka.
“Seperti meludah ke muka sendiri, kesilapan sendiri belum ditebus, namun pantas mencari salah orang lain,” tegasnya menerusi kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias mengesahkan satu perhimpunan akan diadakan di Bertam, Kepala Batas semalam.
Perhimpunan itu sebagai maklum balas kepada kesediaan DAP menyambut kehadiran mereka dengan pengedaran 831 helai Jalur Gemilang.
Program itu yang dijadualkan pada jam 5.30 petang akan turut disertai Akmal serta pemimpin dan penyokong Pemuda UMNO, Bersatu dan Pas.
Walau bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan supaya perhimpunan itu dibatalkan.
Mengulas lanjut, Fadhli Umar berkata, Pemuda AMANAH Nasional bersedia menjadi orang tengah untuk mencari titik temu dan menyelesaikan isu Jalur Gemilang dengan hikmah dalam semangat membina jambatan dan perpaduan.
Tambahnya, penyelesaian pertengahan perlu dicari kerana isu Jalur Gemilang tidak harus dijadikan bahan bakar sentimen perkauman.
“Ingatlah juga Firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raaf ayat 31, “dan janganlah kamu berlebih-lebihan,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Rupanya pencipta lagu “Justice For Zara Qairina” ahli AMANAH Melaka