Kerajaan Madani kekal kukuh meskipun Rafizi, Nik Nazmi letak jawatan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan jaminan bahawa kerajaan Madani kekal kukuh meskipun Datuk Seri Rafizi Ramli telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

“Kerajaan Madani kekal kukuh dengan dukungan padu semua parti komponen yang membentuk kerajaan hari ini.

“Kerjasama erat dan semangat saling menghormati dalam kalangan parti-parti ini menjadi asas kepada kesinambungan pentadbiran negara dan pelaksanaan agenda reformasi,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam jawapan bertulis beliau.

“Pengunduran jawatan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Menteri adalah keputusan peribadi yang berlandaskan prinsip masing-masing.

“Kerajaan menghormati keputusan ini dan dalam masa yang sama menzahirkan keyakinan bahawa kedua-dua Yang Berhormat akan terus menabur bakti serta memainkan peranan aktif sebagai Ahli Parlimen demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.”

Anwar berkata demikian kepada Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) yang bertanya berkenaan kestabilan Jemaah Menteri ekoran peletakan jawatan mereka berdua yang memberi persepsi kerajaan goyah dan kurang keyakinan.

Rafizi dan Nik Nazmi meletakkan jawatan selepas gagal mempertahankan jawatan mereka dalam pemilihan PKR.

BACA JUGA: Jabatan Peguam Negara jawab kes saman Waytha Moorthy Ponnusamy terhadap PMX