Rupanya pencipta lagu “Justice For Zara Qairina” ahli AMANAH Melaka
Pencipta lagu “Justice For Zara Qairina” Norsalim Ali ialah ahli AMANAH Kampung Batang Melaka, dedah pengerusi AMANAH Melaka Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.
Ashraf turut berkata bahawa lirik dan mesej lagu tersebut selari dengan roh perjuangan AMANAH.
“Parti AMANAH Negara Negeri Melaka merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada En. Norsalim Ali, Ahli Amanah Kg. Batang Melaka, atas kejayaan mencipta lagu “Justice for Zara Qairina”.
“Lirik dan mesej lagu ini selari dengan roh perjuangan Parti Amanah, yang sentiasa berpaksikan kepada nilai rahmah, keadilan dan kemanusiaan.
“Melalui karya ini, saudara telah membuktikan bahawa seni boleh menjadi wadah dakwah dan seruan untuk membela yang lemah, menegakkan kebenaran, serta memperjuangkan hak mereka yang teraniaya,” kata Ashraf menerusi hantaran Facebook AMANAH Negeri Melaka.
Norsalim telah dipetik berkata bahawa ada misteri di sebalik kematian Zara. Beliau juga berkata Zara memerlukan pembelaan
“Sebagai seorang ayah dan juga datuk kepada 10 cucu, saya rasa kematian (Zara Qairina) yang disembunyikan adalah sesuatu yang pelik. Sepatutnya perkara ini disegerakan sebab ia berlaku dalam kawasan asrama, ada pengawal keselamatan, guru dan warden.
“Apabila ia makan masa begitu lama dan sebagainya, saya rasa pelik. Jadi saya fikir, kematiannya perlu diangkat untuk dibela,” katanya dalam siaran langsung Sinar Harian bertajuk Mengenang Zara Qairina di platform TikTok pada Selasa.
BACA JUGA: Kes kematian Zara Qairina: Peguam Negara arah tentukan sama ada terdapat unsur jenayah