Serangan terbuka hanya rugikan agenda bina negara, Pemuda AMANAH ajak kembali ke meja dialog

Pemuda AMANAH Nasional menegaskan serangan terbuka antara rakan dalam Kerajaan Perpaduan hanya akan merugikan agenda besar dalam membina negara.

Ketuanya, Hasbie Muda berkata kekuatan gabungan itu terletak pada kematangan politik, kebijaksanaan menangani perbezaan dan keupayaan mencari titik persamaan.

“Perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam sebuah gabungan yang pelbagai ideologi.

“Namun, apabila perbezaan itu dibawa keluar daripada semangat musyawarah dan berubah menjadi serangan terbuka, ia hanya akan merugikan agenda besar kita membina negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Muhamad Akmal Saleh

Justeru, katanya, Pemuda AMANAH bersedia menjadi jambatan penghubung antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Pemuda DAP “duduk semeja untuk berdialog secara beradab”.

“Perbezaan pandangan adalah lumrah, namun semangat setiakawan dalam membina negara mesti sentiasa dipelihara.

“Pemuda AMANAH mengajak semua sayap pemuda parti-parti kerajaan untuk kembali ke meja dialog dan bersama menganjurkan program yang mengangkat patriotisme, hormat-menghormati, dan khidmat kepada rakyat.

“Cinta negara harus diterjemahkan melalui pendidikan, kerja kemasyarakatan, dan perbincangan beradab, bukan melalui ugutan atau penghinaan,” kata Hasbie lagi.

Pertikaman lidah

Pertikaman lidah antara kepimpinan Pemuda Umno dan Pemuda DAP berlarutan ekoran tindakan sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Tindakan Akmal mengetuai protes di depan kedai perkakasan itu yang turut disertai anggota Pemuda Bersatu mengundang reaksi tidak puas hati Pemuda DAP.

Bagaimanapun, Akmal berkata kunjungannya bersama kumpulan Pemuda dari beberapa parti politik ke Bertam, Kepala Batas bukan untuk mengadakan perhimpunan, sebaliknya melihat Jalur Gemilang gergasi yang dipasang di kawasan itu.

Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut berhasrat untuk menikmati nasi kandar yang popular di Pulau Pinang.

Susulan itu, Pemuda DAP Pulau Pinang menggesa kepimpinan pusat parti komponen Pakatan Harapan (PH) tersebut memutuskan hubungan dengan Akmal.

Ketua Pemuda UMNO itu dalam reaksinya menegaskan bahawa kerjasama DAP dengan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan akan terlerai jika Pemuda DAP mahu memutuskan hubungan dengannya.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu berkata, perkara tersebut antara risiko dan implikasi harus ditanggung DAP sekiranya bertindak demikian.

“Putus hubungan dengan saya = putus hubungan dengan Pemuda UMNO = putus hubungan dengan UMNO. Ok. ‘Bring it on’,” katanya di Facebook, hari ini.

BACA JUGA Lagi berita baik buat penjawat awam, ribuan anggota ATM bakal nikmati insentif berasaskan prestasi