‘Saya pun tak tahu apa akan ditanya’, kata KP UMNO depan IPD Dang Wangi
Perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur dibanjiri puluhan penyokong Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh selain pihak media menjelang tengah malam tadi.
Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau tiba di IPD itu pada jam 11 malam tadi.
Beliau dijangka akan memberi keterangan berhubung demonstrasi yang diketuainya di hadapan sebuah kedai di Kepala Batas berhubung isu Jalur Gemilang, pada 14 Ogos lalu.
“(Media) Nak tanya apa pun, saya pun tak tahu apa dia (polis) akan tanya dalam (IPD Dang Wangi) ni nanti…,” katanya.
Sebelum ini, Akmal memberitahu beliau dihubungi pegawai penyiasat dari Bukit Aman yang memintanya hadir ke IPD Dang Wangi.
Pada petang 14 Ogos lalu, Akmal mengetuai Perhimpunan Solidariti Jalur Gemilang Tanah Tumpahnya Darahku di Bertam yang dihadiri kira-kira 500 ahli daripada UMNO, Pas dan Bersatu.
Mereka berarak sejauh 1.4 kilometer sambil mengibarkan bendera negara dari tapak Pasar Malam Pekan Kepala Batas sehingga ke Jalan Bertam Perdana bagi membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik.
Susulan itu, DAP mengarahkan DAPSY iaitu sayap Pemudanya di seluruh negara membuat laporan polis terhadap tindakan Akmal.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata laporan polis dibuat mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan, iaitu menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan.
Loke berkata, tindakan Akmal itu mengabaikan amaran Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Pulau Pinang supaya tidak mengadakan perhimpunan awam.
Pertikaman lidah secara terbuka antara kepimpinan Pemuda Umno dan Pemuda DAP itu juga menyaksikan gesaan Pemuda DAP Pulau Pinang terhadap kepimpinan pusat parti komponen Pakatan Harapan (PH) tersebut agar memutuskan hubungan dengan Akmal.
Susulan itu, Akmal menegaskan bahawa kerjasama DAP dengan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan akan terlerai jika Pemuda DAP mahu memutuskan hubungan dengannya.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu berkata, perkara tersebut antara risiko dan implikasi harus ditanggung DAP sekiranya bertindak demikian.
“Putus hubungan dengan saya = putus hubungan dengan Pemuda UMNO = putus hubungan dengan UMNO. Ok. ‘Bring it on’,” kata Dr Akmal di Facebook.
Sementara itu, Pemuda AMANAH Nasional menegaskan serangan terbuka antara rakan dalam Kerajaan Perpaduan hanya akan merugikan agenda besar dalam membina negara.
Ketuanya, Hasbie Muda berkata kekuatan gabungan itu terletak pada kematangan politik, kebijaksanaan menangani perbezaan dan keupayaan mencari titik persamaan.
Beliau berkata, Pemuda AMANAH bersedia menjadi jambatan penghubung antara Dr Akmal dan Pemuda DAP “duduk semeja untuk berdialog secara beradab”.
“Perbezaan pandangan adalah lumrah, namun semangat setiakawan dalam membina negara mesti sentiasa dipelihara.
“Pemuda AMANAH mengajak semua sayap pemuda parti-parti kerajaan untuk kembali ke meja dialog dan bersama menganjurkan program yang mengangkat patriotisme, hormat-menghormati, dan khidmat kepada rakyat.
“Cinta negara harus diterjemahkan melalui pendidikan, kerja kemasyarakatan, dan perbincangan beradab, bukan melalui ugutan atau penghinaan,” kata Hasbie lagi.
BACA JUGA Serangan terbuka hanya rugikan agenda bina negara, Pemuda AMANAH ajak kembali ke meja dialog