Lain macam risikan kali ini, netizen puji SPRM tumpaskan ‘jerung besar’

Tindakan berani Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan lima pegawai kanan tentera yang didakwa terlibat dalam sindiket penyeludupan, mencetuskan perbincangan hangat di media sosial.

Menerusi maklumat yang dilaporkan media, kelima-lima individu berkenaan terdiri daripada seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta tiga pegawai Tentera Darat.

Mereka didakwa menyeludup barangan haram bernilai sekitar RM5 juta sebulan ke dalam negara.

Senarai nama mereka yang ditahan juga telah tersebar di media sosial.

Lebih mengejutkan ramai, salah seorang daripada mereka yang ditahan merupakan Pengarah Pasukan Risikan Balas, iaitu individu yang sepatutnya bertanggungjawab mengetuai operasi menangani perisik musuh.

Pegawai-pegawai kanan perisikan tentera tersebut dipercayai bersubahat dan membocorkan maklumat operasi kepada sindiket penyeludupan bagi mengelakkan sindiket terbabit dikenakan tindakan.

Barang seludup yang dibawa masuk ke negara ini terdiri daripada dadah, rokok, dan barangan lain dari negara jiran dengan nilai kira-kira RM5 juta sebulan.

Hasil risikan selama 12 bulan mendapati sindiket berkenaan dipercayai membayar rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada pegawai kanan tentera setiap kali aktiviti penyeludupan dijalankan.

Kes itu mencetuskan kebimbangan kerana ia melibatkan kebocoran maklumat sulit ATM yang dipercayai telah dibocorkan kepada kumpulan penyeludup, sekali gus memberi risiko besar terhadap keselamatan negara.

Di media sosial, ramai memuji kejayaan SPRM membongkar kegiatan itu, dengan menganggap penahanan kali ini benar-benar melibatkan “jerung besar” dan wajar disiasat secara menyeluruh.

“Hebat juga risikan SPRM ni, ini baru betul jerung besar yang kena tangkap,” kata seorang pengguna Facebook.

Ada juga yang menyifatkan pendedahan tersebut sebagai antara kes paling besar dalam sejarah melibatkan keselamatan negara dan berharap agar integriti pasukan perisikan negara terus diperkukuh.

BACA JUGA Pegawai kanan ATM ‘duri dalam daging’, disyaki jadi dalang penyeludupan