Selangor Tawar Insentif Tambahan RM2,000 Bagi Pingat Emas Jika Juara Keseluruhan SUKMA 2026

FOYO BERITA: Majlis Pelancaran “Road To Champion 2026” Dan Penyerahan Watikah Perlantikan Program Bapa Angkat Kontinjen SUKMA XXII, Negeri Selangor,
disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, Selangor. 16hb Ogos 2025 (Sabtu)

Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan pemberian insentif tambahan sebanyak RM2,000 bagi setiap pingat emas yang dimenangi atlet sekiranya kontinjen negeri itu berjaya muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026. Pengumuman tersebut disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis Pelancaran Program “Road To Champion” dan Penyerahan Watikah Pelantikan Bapa Angkat Kontinjen SUKMA Selangor, yang berlangsung di Shah Alam hari ini.

Menurut Amirudin, kadar insentif asas kekal iaitu RM10,000 untuk atlet individu, RM5,000 seorang bagi acara berpasukan bawah lima orang, dan RM3,000 seorang bagi acara berpasukan lebih lima orang. Namun, jika Selangor berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan, jumlah itu meningkat kepada RM12,000, RM7,000 dan RM5,000 seorang. “Bagaimanapun jumlah ini masih boleh ditambah. Kita ada setahun dari sekarang dan saya akan mendapatkan analisis daripada jurulatih, Majlis Sukan Negeri serta pihak berkaitan,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Selangor mampu mengulangi pencapaian gemilang menjuarai SUKMA, selepas kali terakhir merangkul gelaran tersebut pada tahun 2016. “Dengan persiapan rapi dan sokongan moral rakyat Selangor, saya percaya kontinjen kita boleh menambah 10 hingga 15 peratus lagi kekuatan untuk memburu kejuaraan,” jelasnya.

Majlis itu turut menyaksikan pengumuman pelantikan ADUN Seri Serdang, Abbas Salimi Che Adzmi@Azmi sebagai Ketua Kontinjen SUKMA Selangor, manakala Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Johary Anuar dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen. Selain itu, sebanyak 29 watikah pelantikan Bapa Angkat Kontinjen SUKMA Selangor turut diserahkan kepada Ahli Dewan Negeri (ADN), pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan tanah (PDT), serta anak-anak syarikat kerajaan negeri (GLC).

Amirudin berkata, Program Bapa Angkat yang diperkenalkan sejak 2015 terbukti memberi kesan positif dalam memantapkan persediaan atlet melalui sokongan moral, logistik dan kewangan. “Setiap bapa angkat akan mengurus antara satu hingga dua pasukan. Dengan sokongan padu mereka, saya yakin Selangor lebih bersedia menghadapi kejohanan tahun depan,” tambah beliau.

Disamping itu Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan pelancaran rasmi program “Road To Champion 2026” serta penyerahan watikah pelantikan Program Bapa Angkat Kontinjen. Majlis yang disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, dengan kehadiran barisan kepimpinan negeri, wakil-wakil badan sukan, serta kontinjen yang bakal beraksi pada temasya sukan terbesar negara itu.

Dalam ucapannya, Amirudin menegaskan bahawa penganjuran SUKMA 2026 merupakan satu misi besar buat Selangor, bukan sahaja sebagai tuan rumah, tetapi juga untuk mengembalikan kegemilangan negeri sebagai juara keseluruhan. “Program Road To Champion ini adalah rangka kerja yang kita susun bagi memastikan setiap atlet berada dalam keadaan terbaik. Ia bukan sahaja soal latihan fizikal, tetapi turut membabitkan aspek sokongan moral, logistik, dan strategi keseluruhan pasukan,” katanya.

Menerusi program berkenaan, setiap persatuan sukan negeri akan menerima bantuan berbentuk sokongan moral, logistik dan kewangan daripada Bapa Angkat yang terdiri daripada Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor (ADN), pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan tanah (PDT) serta beberapa anak syarikat kerajaan negeri (GLC).