Program Kesenian & Kebudayaan Lembah Pantai Semarak Perpaduan Komuniti

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Program Kesenian dan Kebudayaan Lembah Pantai oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Datuk Fahmi Fadzil merangkap Menteri Komunikasi di Padang Bola PPR Kerinchi Lembah Pantai Kuala Lumpur. 17hb Ogos 2025 (Ahad)

Program Penyemarakan Seni Budaya @ Komuniti Pantai Dalam 2025 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL) dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai serta Kelab Kesenian Pendekar Seabad berlangsung meriah pada 16 dan 17 Ogos di PPR Kerinchi, Pantai Dalam.

Dalam ucapannya, YB Datuk Fahmi menegaskan bahawa penganjuran program kesenian dan kebudayaan bukan sahaja bertujuan memartabatkan warisan negara, malah berperanan sebagai jambatan untuk mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk setempat. “Warisan budaya adalah khazanah negara yang perlu kita pertahankan bersama. Program seperti ini membolehkan masyarakat pelbagai kaum dan lapisan usia berkumpul, berinteraksi serta merasai keindahan seni dan budaya tempatan,” katanya.

Menurut beliau, penganjuran program sebegini bukan sahaja mampu menghidupkan kembali seni budaya warisan negara tetapi juga berperanan sebagai platform memperkukuh semangat perpaduan serta memupuk nilai murni dalam kalangan masyarakat setempat.

Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan termasuk Majlis Pelancaran Senam Seni 2.0 Peringkat Wilayah Kuala Lumpur, Kenduri Rakyat, persembahan pentas pelbagai genre seni, pameran komuniti dan agensi kerajaan, pertandingan seni dan permainan tradisional, jualan produk tempatan serta aktiviti sukan rakyat.

Sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat telah membuktikan bahawa seni budaya masih menjadi wadah penting dalam menyatukan komuniti, di samping menggalakkan penglibatan generasi muda untuk terus menghargai dan memartabatkan warisan bangsa.

Program ini secara keseluruhannya berjaya menyemarakkan kembali kecintaan terhadap seni budaya sebagai sebahagian daripada identiti nasional, sekali gus menyokong usaha JKKN untuk memastikan warisan seni negara terus segar dan relevan dalam kehidupan masyarakat moden.