Kematian Zara Qairina: Suara DAP kurang keras?

Isu kematian adik Zara Qairina sememangnya mendapat perhatian umum dan menjadi antara kes berkepentingan awam saat ini. Ada yang menyatakan bahawa ‘suara DAP kurang keras’ mengenai isu ini, namun benarkah kenyataan tersebut?

Adalah ironik sekali apabila meminta Pemuda DAP (DAPSY) membuat laporan polis, padahal Jabatan Peguam Negara telah mengumumkan bahawa pendakwaan akan dibuat.

Janganlah kuman di seberang lautan nampak, tetapi gajah yang memang keras mencabar kedaulatan undang-undang di depan mata pula tak nampak.

Sejak adik Zara dikebumikan pada 17 Julai 2025 dan kesnya terus-menerus mendapat perhatian ramai, ia turut terpalit dengan lambakan berita palsu, ‘pendedahan maklumat’ tidak disahkan, dijadikan bahan kandungan media sosial untuk mendapatkan tontonan dan turut tidak terlepas ditunggang oleh ahli-ahli politik untuk politik murahan.

Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY pada 18 Ogos 2025 lalu dengan tegas tanpa berkompromi menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan reformasi kurikulum, “daripada terus meminta warga sekolah untuk melaungkan slogan setiap hari, kementerian tersebut harus melaksanakan kurikulum Pendidikan Sivik yang sistematik”.

Mengulang semula antara petikan kenyataan sebelum ini, “DAPSY ingin menekankan bahawa kes ini bukan semata-mata isu jenayah, tetapi juga satu loceng amaran atau ‘wake-up call’ kepada sistem pendidikan negara. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil iktibar dengan mengatasi kelemahan struktur yang wujud, termasuk menubuhkan saluran aduan yang berkesan supaya setiap pelajar yang menjadi mangsa buli mempunyai mekanisme perlindungan yang kukuh.”

Sebelumnya pada 9 Ogos 2025, DAPSY turut mendesak agar siasatan menyeluruh dibuat berkaitan kes berkenaan, malahan ahli-ahli DAP di Sabah turut turun ke perhimpunan aman menuntut keadilan dan kebenaran buat Zara Qairina di Sandakan pada 8 Ogos 2025 (semak FB Saudari Tang Szu Ching https://www.facebook.com/share/p/1FVv2WEBnh/).

Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching yang juga merupakan Ketua Wanita DAP turut meluahkan kebimbangan beliau kepada pihak media akibat lambakan berita palsu dan maklumat tidak disahkan berkait isu Zara. Beliau turut menasihatkan berulang kali agar tidak berkongsikan maklumat yang tidak tepat kerana ia boleh mendatangkan mudarat dan bukannya manfaat kepada masyarakat.

Beberapa orang wakil ahli DAP Sabah juga turut mengeluarkan kenyataan masing-masing dalam isu berkaitan. Namun sudah pasti tidak semua kenyataan yang dikeluarkan sampai kepada setiap khalayak juga dek kerana di ruang media sosial ini kita dipecah-pecahkan dalam gelembung-gelembung algoritma masing-masing.

Adakah sesuai dibandingkan “kekerasan suara DAP” dalam kes Jalur Gemilang yang turut sama hangat diperdebatkan baru-baru ini dengan kes Zara Qairina? Dimana dalam kes Zara, keadilan, nyawa serta perundangan turut berakar dengannya. Sejauh mana pula “kekerasan suara” boleh dinilai dalam kes Zara ini?

Kes kematian Zara Qairina, tuduhan buli serta jenayah yang terkait dengannya memerlukan semua pihak bersuara menuntut keadilan bersama dengan ibu mangsa. Kes kehilangan nyawa begini tidak sepatutnya dilihat dengan kaca mata politik, apa lagi politik perkauman yang semakin membarah belakangan ini.


Syaheera Ghafar ialah Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan.