Ada pihak ‘jual’ nama Ketua Setiausaha KDN untuk dapatkan habuan
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman mendedahkan ada pihak-pihak tertentu yang cuba menggunakan namanya untuk mendapatkan habuan daripada seseorang.
Katanya, beliau memandang serius hal itu kerana ia bukan sahaja boleh mencemarkan namanya tetapi juga imej menteri KDN serta reputasi kementerian.
Beliau menegaskan dakwaan kononnya beliau meminta seseorang dihubungi bagi mendapatkan bayaran adalah tidak benar sama sekali.
“Mungkin kalau nama saya sudah keluar, mungkin nama menteri, nama timbalan menteri, nama IGP juga akan terlibat.
“Tapi saya belum dengar lagi yang itu, yang saya dengar setakat ini nama saya dipergunakan kononnya saya minta hubungi seseorang untuk dapatkan sesuatu,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN hari ini menurut Sinar Harian.
Awang Alik memberi amaran tegas kepada pelaku untuk menghentikan perkara itu dan beliau sendiri sedang menyiasat dakwaan yang sedang tersebar.
“Tolong maklum bahawa kalau ada yang berlaku, tolong maklumkan kepada pegawai-pegawai kita, hentikan. Sebab kali ini saya tengah siasat ya. Kalau saya dapat tangkap yang ini, out,” tegasnya.
Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu tidak boleh dibiarkan kerana menjejaskan nama baik kementerian serta integriti pentadbiran.
BACA JUGA Jana Wibawa: Pemimpin Bersatu bebas pertuduhan rasuah lepas bayar kompaun RM4.1 juta