Nyaris dijerut dawai, pelajar di Kelantan dilondeh seluar, dibelasah enam pembuli
Ditendang, ditumbuk, dipukul, ditampar, seluar dilondehkan paras lutut dan leher hampir dijerut dengan dawai.
Itu perlakuan ngeri lagi menyakitkan dialami seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Pasir Mas, Kelantan, semalam.
Enam pelajar Tingkatan Empat dipercayai melakukan perbuatan melampau itu kira-kira jam 10 pagi, sebelum disedari oleh seorang guru yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
Ibu saudara mangsa menerusi Facebook mendakwa anak saudaranya mungkin mati jika tiada guru melalui lokasi berkenaan ketika kejadian.
“Anak saudara saya ditendang, ditumbuk, dipukul, ditampar, seluar dilondehkan paras lutut, leher hampir dijerut dengan dawai.
“Jika guru tidak lalu, mungkin anak saudara saya sudah mati di tangan pembuli.
“Malam tadi enam keluarga datang rumah mak abah saya minta kami tarik kes. Saya minta tolong supaya keluarga pembuli berkenaan tidak meminta adik saya menarik kes ini.
“Semua pembuli itu baru Tingkatan Empat, namun boleh berfikir dan melakukan sampai tahap ini. Apa akan jadi bila mereka berusia 20 tahun?” katanya.
Sementara itu, BH melaporkan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed mengesahkan enam pelajar berusia 16 tahun telah ditahan untuk proses tahanan reman.
BACA JUGA Solidariti Wan Ahmad Faris gegar Kota Bharu, PMX pun dah bersuara